Ahad, 1 April 2018

HADI MAAFKAN SINAR HARIAN




Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengaku sudah memaafkan akhbar Sinar Harian atas kesilapan wartawan akhbar tersebut melaporkan berita berunsurkan fitnah terhadap beliau.

Beliau turut menasihati pengamal media di negara ini supaya bersikap lebih jujur dalam menyampaikan informasi dan berita kepada rakyat.

Menurut beliau, media yang menjadi sumber rujukan maklumat oleh rakyat perlu berhati-hati dalam melaksanakan tugas agar tidak menimbulkan sebarang fitnah.

“Saya sudah maafkan Sinar Harian dan bagi saya tiada apa-apa lagi. Semuanya sudah selesai.

“Cuma saya harap selepas ini, media lebih telus dan berhati-hati melaporkan berita agar tidak menimbulkan sebarang fitnah,” ujar beliau kepada media selepas Majlis Penutup Dialog Rakyat Terengganu Sejahtera Selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) di Terengganu.



Turut hadir ialah Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar serta tiga orang Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu iaitu Dr. Alias Razak, Saiful Bahri Mamat, dan Yahaya Ali selaku panel pada majlis tersebut.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga merupakan Ahli Parlimen Marang itu berkata beliau tidak berkecil hati dengan Sinar Harian berikutan beliau menganggap isu tersebut sudah selesai dan berharap supaya tidak timbul sebarang konflik lagi antara kedua belah pihak.

Terdahulu, PAS mendakwa laporan Sinar Harian Online pada 25 Mac dan versi cetak pada 26 Mac bertajuk “PAS AMBIL PENDEKATAN BERKECUALI ISU 1MDB” sebagai fitnah untuk memburuk imej dan persepsi awam terhadap Presiden PAS.

Walaubagaimanapun, Sinar Harian bertindak menyiarkan permohonan maaf secara terbuka dalam portal dan versi cetak sehari kemudian dengan mengakui laporan tersebut ditulis di luar konteks ucapan Abdul Hadi.


Tiada ulasan: