Naib Presiden AMANAH Datuk Mahfuz Omar menyifatkan pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN) yang menafikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) membebankan rakyat, adalah sesuatu yang baik bagi Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, penafian berterusan GST daripada pimpinan Umno-BN membuktikan mereka tidak memahami keperitan rakyat.
” Mereka tidak mengerti keperitan dan kesusahan yang ditanggung oleh rakyat ketika memperkenalkan GST, sebaliknya hanya nampak satu sudut sahaja bahawa GST menguntungkan pihak kerajaan dan negara.
” Setelah tiga tahun usia GST dan ketika rakyat merungut, bangkit dan marah-marah, maka barulah pemimpin Umno tersentak kerana apa yang mereka ‘suap’ kepada rakyat tidak sedikit pun membuat rakyat berasa selesa.
“Harga barang semakin mencanak naik, rakyat semakin resah dan benci dengan Umno-BN,hatta pemberian BRIM juga tidak mampu untuk meredakan kebencian rakyat kerana rakyat hari ini sudah bijak menilai,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa pada Isnin, dipetik berkata, parti pembangkang sengaja memperbesarkan isu berkaitan GST untuk menanamkan politik kebencian ketika menjelangnya pilihan raya umum akan datang.
Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena ini berkata, GST merupakan penyebab utama kesusahan yang ditanggung oleh rakyat berikutan kegagalan pemimpin Umno-BN menjawab isu GST dengan menyalahkan peranan orang tengah menjadi punca barangan naik.
“Kini Tan Sri Annuar pula menyalahkan pembangkang kononnya menghasut rakyat.
“Tan Sri Annuar Musa dan Umno masih dalam sindrom penafian dan ia adalah sesuatu yang baik untuk Pakatan Harapan.
“Dalam situasi penafian ini, Umno terus ‘mabuk’ dibuai mimpi seolah-olah rakyat masih memberi sokongan kepada mereka.
“Sedangkan rakyat sudah muak dan tidak sabar untuk menghumban Barisan Nasional pada Pilihan raya Umum ke-14.
“Tidak perlu lagi penerangan mengenai GST, kerana ia adalah cukai yang mencakupi serta menjerat leher semua rakyat Malaysia,” ujarnya.
Pada 1 April genap tiga tahun pelaksanakan GST sebanyak 6 peratus di negara ini.
PH menerusi Bajet Alternatif 2018 dan manifesto PRU14 berjanji akan memansuhkan GST sekiranya berjaya menumbangkan kerajaan Umno-BN kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan