KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Negara pada Selasa meluluskan Rang
Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018, yang menunjukkan
keseriusan kerajaan menangani masalah penyebaran berita tidak benar
dalam perkembangan teknologi moden.
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S. A. Vigneswaran mengumumkan
bahawa rang undang-undang itu diluluskan dengan suara majoriti setelah
dibahaskan oleh 17 senator.
Ia dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said tengah hari Selasa.
Azalina ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata, kerajaan
memperkenalkan RUU bukan sama sekali untuk menyekat kebebasan bersuara
sebaliknya bertujuan mengekang penularan berita tidak benar.
Beliau berkata, walaupun terdapat beberapa undang-undang yang berkaitan
namun sehingga hari ini isu melibatkan berita tidak benar tidak dapat
dikawal secara efektif berikutan perkembangan semasa teknologi maklumat
yang semakin pantas dan kompleks.
Apatah lagi, undang-undang yang sering disebut dalam perkara ini
seperti Kanun Keseksaan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta
Komunikasi dan Multimedia 1998 telah digubal pada atau sebelum tahun
1990-an, yang tidak dapat menangani sifat kesalahan yang kompleks
seiring dengan peredaran teknologi terkini," katanya dipetik mstar
Online.
Azalina berkata, langkah membawa RUU berkenaan pada persidangan
Parlimen kali ini adalah mengikut takwim Parlimen yang telah ditetapkan.
"Ada yang bertanya kenapa RUU ini dibentangkan sekarang. Jawapan saya,
jika bukan sekarang, bila lagi? Jika ada yang kata ia ada kaitan dengan
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), ia tidak ada kaitan dengan PRU kerana
saya tidak tahu bila PRU akan diadakan.
"Tetapi semua tahu bila PRU perlu diadakan, (jadi) mungkin orang lihat
pada kebetulan. Sebenarnya, ia telah diletakkan di dalam kalendar Dewan
Rakyat dan Dewan Negara kali ini yang kebetulan berlangsung pada Mac dan
April ini," katanya.
Beliau menjelaskan RUU itu juga akan memberikan mesej yang jelas bahawa
kerajaan tidak akan berkompromi dengan penyebaran berita tidak benar
yang boleh memudaratkan ketenteraman awam atau negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan