TANAH MERAH:
Penantian lebih 150 penduduk di Ladang Keralla di sini sejak 28 tahun
lalu berakhir apabila kerajaan negeri memberi lot kediaman di kawasan
seluas 38 ekar.
Mereka terdiri daripada penduduk Cina
seramai 176 orang, Melayu (50 orang) dan India (37 orang). Mereka
merupakan bekas pekerja ladang.
Menteri Besar, Ustaz Dato' Bentara Kanan
Ahmad Yakob berharap bekas pekerja ladang dapat membina kediaman yang
lebih baik di lot berkenaan di Kampung Gobek.
"Kita berusaha untuk mempercepatkan proses pengeluaran hak milik kepada rakyat.
"Kita juga harap dengan penyediaan
lot-lot tanah tersebut membolehkan mereka membina rumah yang lebih baik
berbanding apa yang ada sekarang," katanya ketika merasmikan majlis
penyerahan lot tanah kepada bekas pekerja ladang Kerilla dekat Gual Ipoh
di sini semalam.
Turut hadir anggota-anggota Exco, Dato'
Abdul Fattah Mahmood dan Mejar (B) Dato' Md Anizam Abd Rahman, Penyelia
Dun Gual Ipoh, Wan Yusoff Wan Mustafa serta Pengarah Tanah dan Galian,
Dato' Nazran Muhammad dan Ketua Jajahan Tanah Merah, Norazman Abdul
Ghani.
Kerajaan negeri membelanjakan RM1.2 juta
bagi menyedia lot tersebut yang turut dilengkapi surau, taman permainan
dan pasar malam. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan