KLUANG: Barisan Nasional (BN) akan mengerah seramai 60,000 jentera
penerangannya untuk menangkis fitnah pembangkang yang dijangka
meningkatkan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan BN, Tan Sri Annuar Musa,
berkata pendekatan lebih bersepadu akan digunakan, termasuk bersemuka
dengan pengundi malah secara maya termasuk media sosial dalam memberi
maklum balas segera terhadap fitnah.
Katanya, berdasarkan pengalaman PRU13, pembangkang meningkatkan fitnah
pada minggu akhir menjelang PRU yang menyebabkan beberapa calon BN
tewas disebabkan persepsi negatif yang dicipta bagi menyemai kebencian
masyarakat.
"Jentera penerangan BN mesti berada di saf hadapan kerana kita jangka
pembangkang merancang untuk sebar berita palsu termasuk pada saat akhir.
"Jangan lupa apa yang berlaku pada PRU-13 hingga menyebabkan bekas
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja
Nong Chik Raja Zainal Abidin tewas akibat fitnah daripada seorang
pemimpin pembangkang di Lembah Pantai.
"Juga tuduhan palsu yang mendakwa ribuan pendatang Bangladesh dibawa
masuk untuk mengundi, selain cerita bekalan elektrik terpadam (ketika
kiraan undi) sehingga dipercayai masyarakat.
"Saya nak ingatkan jentera penerangan BN untuk buat persiapan kerana
berkemungkinan strategi sama dengan keadaan lebih licik akan digunakan
pembangkang, " katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Ceramah Umum Tolak
Pakatan Hipokrasi di Dewan Muafakat, Taman Kluang Barat, di sini, malam
tadi.
Hadir sama, Ketua Penerangan Umno Johor, Datuk Samsolbari Jamali;
Pengerusi MCA Bahagian Kluang, Gan Ping Sieu; Ahli Jawatankuasa Kuasa
MCA Pusat, Datuk Seri Ti Lian Ker dan Ketua Wanita Umno Johor, Datuk
Sharifah Azizah Syed Zain.
Annuar yang juga Ketua Penerangan Umno, berkata jentera penerangan BN
akan menggunakan pendekatan lebih bersepadu bukan saja secara bersemuka,
malah di media sosial bagi menangkis fitnah dan berita palsu yang
dicipta dan disebarkan pembangkang.
"Penerangan terhadap fitnah dan berita palsu pembangkang bukan saja
akan dijawab dengan segera, malah penyebaran maklumat sahih akan
dilakukan secara lebih menyeluruh bagi memusnahkan persepsi negatif yang
mahu diwujudkan bagi mengundang kebencian rakyat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan