KUALA LUMPUR: Memperbanyakkan parkir bertingkat, terutama di kawasan
perumahan antara fokus manifesto Barisan Nasional (BN) Wilayah
Persekutuan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata aku
janji itu terkandung dalam manifesto bertemakan 'Aspirasi rakyat agenda
kami'.
Katanya, manifesto BN berkenaan meliputi lima teras iaitu Wilayahku
Maju, Wilayahku Sejahtera, Wilayahku Selesa, Wilayahku Aman dan
Wilayahku Ceria.
Katanya, pembinaan tambahan 30 kilometer laluan pejalan kaki berbumbung
termasuk perhentian bas dan teksi juga akan dibina yang memberi
keceriaan dan kesejahteraan kepada rakyat.
"Bagi rakyat Labuan, kita akan membina jambatan menghubungkan Labuan ke
Menumbuk, Sabah untuk merancakkan ekonomi dan pembangunan di Labuan.
"Bagi golongan muda mahu kahwin tetapi kurang bajet, jangan risau
kerana kita akan menganjurkan majlis perkahwinan berkelompok secara
percuma bagi meringankan beban pasangan dan keluarga," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi BN Wilayah Persekutuan berkata demikian
ketika melancarkan Manifesto BN Wilayah Persekutuan di Pusat Dagangan
Dunia Putra (PWTC), hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan