Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Ahli PPBM Alor Mengkudu yang mengumumkan keluar parti
semalam hanya golongan minoriti, kata Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr
Ismail Salleh.
Malah beritahu Ismail, bekas ahli PPBM itu adalah mereka yang
dikenalpasti sudah lama memberontak berikutan mahukan partinya memiliki
kerusi DUN Alor Mengkudu.
Ismail kemudiannya menegaskan, kelompok yang bertindak keluar parti itu adalah minoriti bukannya majoriti dalam PPBM Kedah.
"Dari segi organisasi kawasan atau bahagian PPBM tidak bersetuju dengan
golongan minoriti, segelintir ini. Tapi mereka dakwa bahawa dah ada 15
PDM (Pusat Daerah Mengundi), semua jentera. Golongan ini memberontak
dari dulu (kerana) nak kerusi ini.
"Golongan ini adalah golongan minoriti, tidak diterima oleh PPBM kawasan pun," katanya menjelaskan kepada Antarapos, hari ini.
Ismail juga tidak menolak keputusan keluar parti itu ada kaitan dengan
kecewa berikutan tidak dipilih sebagai calon mewakili PPBM pada Pilihan
Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Tetapi segelintir sahaja, bukan ramai. Segelintir ahli PPBM dan juga
yang tidak berahli ada yang gila nak bertanding. Bila dia jadi gila nak
bertanding dia tidak kira perbincangan kerusi peringkat negeri untuk
Amanah.
"Jadi dia nak bertanding juga maka dia nak lah. Jadi dia bentuk kumpulan-kumpulan dia dengan menggunakan duit," katanya lagi.
Semalam (Jumaat) lebih 4000 ahli PPBM dilaporkan keluar parti selepas
memprotes pencalonan Timbalan Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Phahrolrazi
Mohd Zawawi sebagai calon di DUN Alor Mengkudu.
Kesemua mereka kemudiannya dilaporkan memasuki Umno Barisan Nasional
(BN) dan berazam untuk membantu parti itu menang pada pilihan raya kali
ini.
"Mana ada 4000, kalau 40 orang mungkin. Keseluruhan ahli PPBM Alor
Setar tak sampai lebih kurang itu pun, 1,000 saya ingat. Sekitar itu
saja," jelas Ismail.
Jurucakap kelompok yang didakwa minoriti itu, Muhamad Rizal Zainol
Abidin berkata pihaknya kecewa kerusi DUN itu diserahkan kepada Amanah
walaupun PPBM hampir dua tahun menyiapkan jentera di sana.
Mengulas perkara itu, Ismail berkata kerusi itu sememangnya diperuntukkan untuk Amanah sejak daripada awal.
"Dari segi pentadbiran dan organisasi daripada PPBM mengiktiraf bahawa kerusi ini adalah kerusi Amanah.
"Dari hari pertama (PPBM iktiraf) ia kerusi Amanah. Memang mereka
(bekas ahli PPBM) bekerja untuk nak kerusi itu, tapi mereka ini dengan
bahagian (PPBM) dia pun dia bertembung (selisih pendapat).
"Daripada hari pertama, sekitar bulan 7 tahun lepas. Dari hari pertama
perbincangan kerusi Alor Mengkudu ialah diperuntukkan untuk Amanah. Dari
hari pertama sampai hari terakhir, semalam. Maknanya kerusi itu memang
kerusi Amanah, tidak ada sesiapa yang minta, PPBM pun dari segi
perbincangan kerusi tidak pernah minta, DAP apatah lagi. Memang kerusi
Amanah," ujarnya.
Semalam Presiden Amanah, Mohamad Sabu mengumumkan Datuk Phahrolrazi
Mohd Zawawi sebagai calon DUN Alor Mengkudu sementara Datuk Mahfuz Omar
akan terus mempertahankan kerusi Parlimen Pokok Sena di bawah tiket
parti serpihan PAS itu.
Amanah akan bertanding tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Terap, Pokok Sena dan Sik, selain 10 kerusi DUN di negeri ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan