Sabtu, 14 April 2018

4,000 ahli keluar PPBM tak puas hati Amanah dapat DUN Alor Mengkudu

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
ALOR SETAR: Seramai 4,000 ahli PPBM dari Alor Mengkudu bertindak keluar parti sebagai tanda protes agihan kerusi dalam kalangan pakatan pembangkang, yang diumumkan Amanah malam tadi.
 
Bukan itu sahaja, 15 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam kawasan DUN Alor Mengkudu juga dibubarkan sebagai bantahan kepada pencalonan Timbalan Pengerusi Amanah Kedah Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi yang dipilih sebagai calon mewakili DUN itu.
 
Mereka kemudian mengambil keputusan menyertai Umno dan Barisan Nasional (BN) berkuat kuasa serta-merta dengan memakai baju biru sebagai simbolik keluar parti.
 
Jurucakap 15 PDM itu, Muhamad Rizal Zainol Abidin, berkata pihaknya kesal dan tidak berpuas hati dengan pengagihan kerusi DUN serta Parlimen pakatan pembangkang membabitkan PPBM, Amanah, PKR dan DAP di Kedah.
 
Beliau yang juga Ketua PDM Alor Melintang berkata, pihaknya tidak menyangka selepas bekerja keras hampir dua tahun dengan menyiapkan jentera dan merekrut keahlian PPBM dalam kalangan penduduk, tiba-tiba kerusi DUN Alor Mengkudu diserahkan kepada calon Amanah.
 
"Sepatutnya kerusi ini diberi kepada calon PPBM, tetapi ia jadi sebaliknya apabila diberi kepada pemimpin yang tidak pernah memberikan khidmat kepada pengundi DUN di sini selama ini.
 
"Ini jelas satu pengkhianatan kepada kami dari 15 PDM yang sebelum ini sudah dipersetujui berhubung agihan kerusi bahawa DUN Alor Mengkudu diberi kepada PPBM. Ini helah politik yang menjengkelkan dan tidak berpaksikan keadilan dengan mengetepikan sumbangan pihak PPBM," katanya pada sidang media di majlis Kenduri Rakyat DUN Alor Mengkudu, di Jalan Datuk Kumbar di sini, hari ini.
 
Susulan itu, Muhamad Rizal berkata, pihaknya memutuskan untuk membubarkan semua 16 PDM PPBM dan jentera Pilihan Raya PPBM DUN Alor Mengkudu.
 
Katanya, pihaknya juga akan memboikot segala kerjasama bagi membantu calon Amanah bagi membantu kemenangan calon BN.
 
"Kami juga mendokong kepemimpinan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah supaya terus kekal sebagai Pengerusi BN dan menjadi Menteri Besar Kedah untuk penggal seterusnya.
 
"Selain itu, 4,000 ahli akan berkempen dengan penuh upaya untuk memenangkan calon diketengahkan BN Kedah di kerusi DUN ini bagi membolehkan nasib pengundi dapat dibela, selari dengan komitmen BN Kedah.
 
"Ia juga sebagai pengajaran kepada pimpinan pakatan pembangkang supaya tidak mengamalkan politik kepentingan kendiri dengan sanggup membelakangkan janji dan semangat setia kawan yang sebelum ini diikrarkan," katanya.
 
Semalam Presiden Amanah, Mohamad Sabu mengumumkan Phahrolrazi yang juga bekas Exco kerajaan negeri PAS sebelum ini, tidak mempertahankan kerusi DUN Pengkalan Kundor yang disandangnya sejak 1999, 2008 dan 2013 kerana akan berpindah untuk bertanding di kerusi DUN Alor Mengkudu.
 
Mohamad juga mengumumkan Datuk Mahfuz Omar akan mempertahankan kerusi Parlimen Pokok Sena.
 
Amanah akan bertanding tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Terap, Pokok Sena dan Sik, selain 10 kerusi DUN negeri ini.
 
 

Tiada ulasan: