Rabu, 11 April 2018

31 janji PH Perak

 
Manifesto PH menggariskan 5 teras merangkumi 31 janji sekiranya berjaya mengambil alih pentadbiran negeri Perak.





IPOH: Pakatan Harapan (PH) Perak melancarkan manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU14) semalam, yang menggariskan 5 teras merangkumi 31 janji sekiranya mereka mengambil alih pentadbiran negeri ini.

Manifesto bertemakan “Bersama Harapan Perak Kembali Gemilang” itu dilancarkan Setiausaha Kehormat PH Nasional, Datuk Saifuddin Abdullah dan turut dihadiri pengerusi PH Perak, Ahmad Faizal Azumu, pengerusi Amanah, Asmuni Awi, serta pengerusi DAP, Nga Kor Ming.

5 teras itu ialah kebajikan dan ekonomi rakyat; amanah dan integriti; keadilan sosial dan demokrasi; budaya ilmu dan penyelidikan; alam sekitar dan komuniti.

PH Perak turut menggariskan 10 dasar tumpuan, antaranya bantuan khas warga emas, ibu tunggal dan orang kurang upaya serta veteran tentera dan polis; penubuhan institusi pembangunan wanita bagi meningkatkan keupayaan dan ketrampilan komuniti wanita daripada pelbagai aspek pengurusan diri, keluarga dan kerja.

Selain itu, skim bantuan khas pelajar institusi pengajian tinggi anak Perak dan biasiswa Menteri Besar untuk pelajar ijazah lanjutan serta bantuan khas kepada sekolah pondok, sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat, sekolah persendirian Cina, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

Suruhanjaya pilihan raya (SPR) semalam mengumumkan 9 Mei iaitu hari Rabu sebagai hari mengundi dan 28 April sebagai hari penamaan calon, manakala 5 Mei pula tarikh pengundian awal.

Tempoh berkempen pula ditetapkan selama 11 hari bermula pada hari penamaan calon.

Tiada ulasan: