Rabu, 11 April 2018

Melayu Pahang tak takut ‘mata’ PKR, kata PPBM

 
PPBM mempunyai pasaran undi sendiri, kata ketuanya di Pahang.





PETALING JAYA: PPBM Pahang yakin Melayu luar bandar di negeri itu akan terus menyokong parti itu dan mengundi Pakatan Harapan (PH) walaupun calon-calonnya bakal menggunakan logo PKR.

Bercakap kepada FMT, Ketua PPBM Pahang, Wan Mohd Shahrir Abdul Jalil berkata Melayu luar bandar tahu di mana PPBM akan bertanding di Pahang, dan menggunakan logo PKR tidak mungkin mengelirukan mereka atau berpaling daripada parti itu.

“Memandangkan DAP masih DAP kekal dengan pasarannya, sama juga untuk PPBM, kita masih dengan pasaran kita dan saya percaya ramai Melayu luar bandar menjaga kepentingan PPBM,” katanya.

“Kebanyakan calon kita orang tempatan. Semua orang kenal mereka sebagai ahli dan pengendali PPBM. Apabila semua bertanding bawah satu logo, lebih mudah untuk jelaskan.”

Wan Mohd Shahrir Abdul Jalil

Ramai pakar politik percaya PPBM, tidak seperti parti pembangkang lain sebelum ini, berjaya menembusi kawasan majoriti Melayu luar bandar, termasuk penempatan Felda yang dianggap bank undi Barisan Nasional (BN).

PPBM bertanding di jumlah kerusi paling banyak di Pahang berbanding parti komponen lain dalam PH, yang turut menggabungkan PKR, DAP dan Amanah.

PH memutuskan untuk menggunakan logo PKR untuk kesemua calonnya yang bakal bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) di Semenanjung Malaysia, selepas gagal mendaftarkan PH.

Wan Shahrir berkata menggunakan logo PKR adalah langkah terbaik untuk PH, sambil menambah, DAP dan Amanah terpaksa berkorban dengan tidak menggunakan simbol mereka sendiri.

“DAP terkenal dengan logo roketnya, terutamanya dalam kalangan komuniti Cina, tetapi semua komponen tahu kepentingan menawan undi Melayu dan saya tidak rasa roket akan membantu dalam perkara itu, terutamanya di kawasan luar bandar. DAP pun faham perkara itu.

“Untuk Amanah pula, jika kita menggunakan logonya, PAS akan meningkatkan serangan dan ini mungkin akan menakutkan penyokong PAS yang bersimpati kepada PH.”

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14

Tiada ulasan: