Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), Tan Sri
Abdul Kadir Sheikh Fadzir hari ini mengesahkan hanya akan bertanding di
satu kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor
pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.
Bekas menteri itu ketika dihubungi Antarapos memaklumkan antara kerusi
yang telah disahkan adalah Parlimen Selayang dan DUN Subang Jaya.
"Setahu saya, kita tanding di Parlimen Selayang, satu lagi kerusi
negeri Subang Jaya, Pandaraman. Kadang-kadang mereka ada saat akhir
perubahan dengan ketua negeri.
"Yang saya pasti, Subang Jaya dengan Selayang. Kerusi negeri Subang Jaya," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
Menjelang PRU14 ini, IKATAN yang menganggotai blok politik bersama PAS
menerusi Gagasan Sejahtera (GAGASAN) sebelum ini menyasarkan untuk
bertanding dua kerusi di Selangor.
PAS yang mengumumkan barisan calon yang bertanding pada PRU14 secara
serentak semalam memberitahu, bakal mempertaruhkan calon dari IKATAN
'bertempur' menghadapi Pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad di Langkawi.
Dr Mahathir yang baru-baru ini mengumumkan akan bertanding di Langkawi
dijangka bakal berhadapan dengan penyandang Barisan Nasional (BN), Datuk
Nawawi Ahmad yang menang dengan majoriti 11,861 undi pada 2013.
Walau bagaimanapun kata Abdul Kadir, IKATAN sudah lama menolak untuk
tidak bertanding kerusi Parlimen berkenaan meskipun ditawarkan PAS.
"Kedah kita diberi kerusi Langkawi, tapi kita lama dah bagi tahu kita tak bersedia. Kita tolak kerusi itu.
"Tapi kita minta beberapa kerusi negeri di Kedah, tapi dengar kata itu
semua dah diisi oleh calon-calon PAS, jadi kita tidak bertanding di
Kedah," katanya.
IKATAN dan PAS mencipta 'sejarah' apabila mengumumkan penggabungan untuk membentuk blok politik ketiga pada 16 Mac lalu.
Gandingan antara parti berbilang kaum dengan parti berlandaskan
perjuangan Islam itu bertujuan menggerakkan perubahan ke arah membina
Malaysia yang sejahtera berlandaskan politik yang matang.
Bekas ahli Parlimen yang pernah mewakili Kulim-Bandar Baharu selama 7
penggal itu dan memegang jawatan dalam Kabinet pimpinan Dr Mahathir
serta penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi, juga memaklumkan tidak
akan bertanding pada PRU kali ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan