Rabu, 11 April 2018

11 hari tak memadai calon berkempen - Penganalisis

Oleh Muhammad Ridz Effandy Ibrahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tempoh 11 hari berkempen bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disifatkan sebagai tidak mencukupi buat calon, kata penganalisis politik Edwin Michael Muniandy.
 
Namun katanya, tempoh yang lebih singkat berbanding PRU13 ini mungkin akan lebih menarik tentang bagaimana strategi calon untuk menambat hati pengundi.
 
"Saya rasa tempoh 11 hari itu tidak memberi ruang secukupnya buat calon untuk berkempen.
 
"Saya lihat tempoh 11 hari ini adalah masa yang singkat dan pada awalnya saya menjangkakan dua minggu tempoh berkempen.
 
"Agak menarik untuk melihat bagaimana calon akan berkempen dalam masa yang singkat iaitu 11 hari," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
SPR menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018 (Rabu), manakala tarikh penamaan calon pada 28 April 2018 (Sabtu). 
 
Pengundian awal ditetapkan pada 5 Mei 2018 (Sabtu).
 
Tempoh berkempen ditetapkan selama 11 hari iaitu bermula pada hari penamaan calon sehingga jam 11:45 malam pada 8 April. 
 
Dalam pada itu juga Edwin berharap sepanjang tempoh pilihan raya kali ini akan berlangsung secara sihat tanpa memainkan isu perkauman.  
 
Sebaliknya ujar beliau, semua calon hendaklah bertanding secara matang dan sihat.
 
"Cuma apa yang boleh diharapkan adalah calon memainkan politik matang.
 
"Politik matang ini dimana calon berkomunikasi secara berhemah dan menjauhkan dari penyebaran berita palsu.
 
"Tidak beri apa-apa berita dan maklumat yang tidak benar ketika ceramah dan sebagainya.
 
"Kalau setiap calon mengamalkan politik matang maka akan adanya elemen berkempen secara sihat," tegasnya.
 
 

Tiada ulasan: