Rabu, 11 April 2018

PPBM gagal halang RoS sekat pendaftaran

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: PPBM hari ini gagal dalam permohonannya untuk mendapatkan kebenaran bagi menghalang Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), Surayati Ibrahim daripada menggunakan peruntukan Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966 untuk menyekat PPBM sebagai parti politik yang sah.
 
​Hakim Datuk Kamaludin Md Said dalam keputusannya berkata, tidak dipertikaikan bahawa pemohon menyatakan pihaknya telah mematuhi notis di bawah Seksyen 14(2) kerana telah mengemukakan dokumen yang dikehendaki. 
 
“Pada pendapat saya oleh kerana permohonan untuk mencabar notis di bawah Seksyen 14(2) tidak lagi menjadi isu atau menjadi suatu yang akademik maka permohonan untuk mencabar jika ada, perlu dikemukakan mengikut Seksyen 14(5). Surayati yang dinamakan sebagai pihak responden telah mengeluarkan perintah pembubaran sementara di bawah Seksyen 14(5).
 
“Saya menyatakan bahawa prosedur untuk membuat rayuan bagi mengesahkan sebarang keputusan yang dibuat oleh pihak responden berhubung perintah sementara di bawah Seksyen 14(5) boleh dikemukakan mengikut Seksyen 18(j) iaitu kepada menteri.
 
“Pada pandangan saya ini adalah isu yang berbeza yang memerlukan permohonan yang berlainan untuk mencabar kesahihan keputusan pihak responden ketika mengeluarkan perintah sementara tersebut,” ujar Hakim Kamaludin. 
 
Peguam Rosli Dahlan yang mewakili PPBM memberitahu pemberita, pihaknya akan memfailkan permohonan yang baru. 
 
Permohonan itu sebelum ini difailkan oleh Setiausaha Agung PPBM, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh selaku pihak pemohon pada 6 April lalu.
 
PPBM turut memohon perisytiharan bahawa surat ROS bertarikh 2 April lalu tidak berasas untuk mengeluarkan sebarang perintah pembubaran terhadap PPBM dengan menyalahgunakan seksyen tersebut bagi menghalang parti itu bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. 
 
Surayati pada 5 April lalu mengesahkan pembubaran sementara PPBM menurut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan ekoran kegagalan PPBM menyerahkan sepenuhnya dokumen yang diperintahkan di dalam tempoh yang diberikan sebelum ini.
 
Pembubaran PPBM dibuat, kira-kira sejam sebelum Hakim Datuk Azizah Nawawi mendengar prosiding semakan kehakiman Pakatan Harapan bagi mendapatkan perintah Mahkamah Tinggi di sini supaya ROS mendaftarkan parti tersebut sebagai pertubuhan berdaftar.
 
 

Tiada ulasan: