PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengundang pemerhati
pilihan raya antarabangsa bagi meninjau ketelusan proses pilihan raya
umum ke-14 (PRU14) akan datang sepertimana yang dilakukan pada PRU
terdahulu.
Pengerusinya Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata SPR juga melantik
wakil-wakil badan bukan kerajaan (NGO) tempatan sebagai pemerhati di
samping pemerhati tetap yang terdiri daripada wakil-wakil calon yang
juga merupakan anggota daripada parti-parti yang bertanding.
“Untuk pengetahuan, pada PRU ke-13 yang lepas, SPR telah mengundang
pemerhati pilihan raya antarabangsa daripada beberapa negara.
“Pada PRU ke-14 ini juga, SPR akan mengundang pemerhati-pemerhati
pilihan raya untuk meninjau ketelusan proses pilihan raya. Mereka ini
terdiri daripada pemerhati tempatan dan juga luar negara,” katanya dalam
kenyataan.
Beliau berkata sistem pilihan raya yang diamalkan di negara ini adalah
telus dan adil serta tidak sepertimana yang digambarkan oleh pihak
tertentu.
“Sikap pihak tertentu yang mempertikaikan ketelusan sistem pilihan raya
menjelang PRU ke-14 dianggap satu usaha propaganda yang cuba
mengelirukan rakyat dan pengundi,” katanya.
Baru-baru ini, Timbalan Presiden Pakatan Harapan Tan Sri Muhyiddin
Yassin dilaporkan mencabar kerajaan supaya mengundang pasukan pemantau
pilihan raya bebas daripada Sekretariat Komanwel dan Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memantau perjalanan PRU14.
Mohd Hashim berkata, pemerhati tempatan terdiri daripada wakil-wakil
NGO atau mana-mana organisasi tempatan yang layak serta berkecuali dan
tidak berpihak kepada mana-mana parti politik.
Bagi pemerhati antarabangsa pula, beliau berkata mereka daripada
pelbagai negara yang mewakili negara-negara Komanwel, ASEAN dan
lain-lain.
Mohd Hashim menjelaskan, pemerhati tetap daripada parti-parti yang
bertanding akan bertugas sebagai pemerhati barung untuk semakan SPR,
Ejen Tempat Mengundi (ETM) yang bertugas sebagai pemerhati dalam tempat
mengundi semasa proses pengundian berlangsung, dan Ejen Mengira Undi
(EMU) yang bertugas sebagai pemerhati semasa proses pengiraan undi
dijalankan.
Beliau berkata, wakil/ejen ini berperanan penting sebagai pemerhati dan
pemantau bagi setiap proses pengundian dan pengiraan yang berlaku di
Tempat Mengundi (saluran) secara langsung kerana mereka berada di dalam
bilik pengundian dan pengiraan undi sepanjang masa, iaitu dari awal
pusat pengundian dibuka hinggalah kepada pengiraan kertas undi
dijalankan.
“Bukan sahaja proses yang berlaku di dalam tempat mengundi bahkan di
luar tempat mengundi juga terdapat ejen calon yang bertugas sebagai ejen
pemerhati barung semakan daftar pemilih dan segala proses pilihan raya
yang berlaku di dalam dan luar tempat mengundi itu adalah dalam
pengetahuan mereka,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Hashim berkata SPR akan memastikan semua calon
yang bertanding pada PRU14 akan menghantar wakil/ejen mereka bertugas
semasa proses pilihan raya itu dijalankan.
“SPR akan hebahkan nama wakil/ejen yang bertugas pada hari tersebut
supaya rakyat tahu bahawa proses pilihan raya berlaku dengan telus dan
adil.
“Dengan kehadiran ejen-ejen calon sebagai pihak ketiga, ia merupakan
bukti bahawa SPR tidak menafikan hak pemerhati untuk turut serta dalam
proses pilihan raya.
“Parti-parti politik tidak wajar berasa bimbang dengan ketelusan proses
pilihan raya sedia ada yang diamalkan di negara ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan