ANTARAPOS
KAJANG: Cubaan tiga lelaki menjual barangan hasil samun di sebuah laman sesawang membawa padah apabila ditahan oleh mangsa sendiri ketika transaksi jual beli barang berkenaan di Bukit Dukung, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, suspek berusia lingkungan 19
hingga 37 tahun itu ditahan oleh orang awam termasuk mangsa, Muhammad
Affan Fauzi, 21, seorang jurugambar di sebuah portal, selepas mereka
cuba menjual kamera miliknya.
Muhammad Affan berkata, beliau menerima maklumat dari rakannya
berhubung penjualan kamera jenis SLR Nikon D800 dipercayai miliknya oleh
seorang lelaki di sebuah laman web jual beli dalam talian sejak
beberapa hari lalu.
Katanya, berdasarkan maklumat itu, beliau cuba menghubungi suspek
dengan menyamar sebagai pembeli bagi mengetahui sama ada kamera yang
dijual itu adalah miliknya atau sebaliknya.
"Saya agak yakin bahawa kamera yang dijual itu adalah milik saya
berdasarkan corak tali dan kesan calar sebelum saya membuat keputusan
untuk memasang perangkap terhadap lelaki berkenaan dengan menyamar
sebagai pembeli.
"Sepanjang tempoh urusan jual beli itu dilakukan, dia menawarkan harga
murah sehingga RM3,500 dan bersetuju untuk menjual kamera berkenaan
sebelum kami membuat pertemuan di Bukit Dukung, di sini," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Muhammad Affan kerugian lebih RM15,000
selepas disamun seorang lelaki ketika memberhentikan motosikalnya di
bahu jalan di Lebuh Silikon, Serdang Ahad lalu.
Suspek yang kononnya mahu menolong mangsa, bertindak melarikan begnya
yang mengandungi kamera, telefon bimbit, komputer riba dan dompet
bersama dokumen pengenalan diri serta sejumlah wang tunai.
Muhammad Affan berkata, ketika pertemuan itu, mereka membenarkan saya membuat pemeriksaan nombor siri pada kamera terbabit.
"Pemeriksaan itu mendapati nombor siri kamera berkenaan adalah sama
dengan kamera saya selain memiliki corak tali dan kesan calar yang sama.
"Sebaik saya memaklumkan bahawa itu adalah kamera saya, mereka cuba
melarikan diri, bagaimanapun mereka berjaya ditahan oleh orang awam
termasuk beberapa rakan saya yang turut berada di lokasi kejadian.
"Pergelutan yang berlaku menyebabkan lelaki berkenaan mengalami kecederaan ringan di bahagian muka," katanya.
Katanya, semua suspek terbabit kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan lanjut.
"Saya membuat laporan polis di IPD Kajang dan dimaklumkan oleh pegawai
penyiasat bahawa pihaknya akan membawa ketiga-tiga lelaki berkenaan ke
IPD Sepang memandangkan kes samun Ahad lalu berlaku di kawasan Sepang,"
katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten
Komisioner Fadzil Ahmat, berkata, ketiga-tiga suspek ditahan di sebuah
stesen minyak di Bukit Dukung, di sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan