KUCHING: Mahkamah Sesyen di sini hari menjatuhkan hukuman penjara 80
tahun dan 24 sebatan terhadap seorang pekerja am selepas mengaku
bersalah terhadap empat pertuduhan merogol anak kandungnya.
Hakim Dayang Ellyn Narissa Abang Ahmad menjatuhkan hukuman itu selepas
tertuduh berusia 40 tahun mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut
Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara
antara 10 hingga 30 tahun dan enam sebatan bagi setiap pertuduhan.
Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, hanya mengangguk kepalanya ketika
keputusan dibacakan kepadanya, dan hakim memutuskan supaya hukuman
dijalankan secara berasingan.
Tertuduh didakwa melakukan jenayah itu terhadap anak perempuannya
sebanyak empat kali dalam tempoh tiga tahun lepas, bermula sejak Mac
2015 ketika mangsa itu berusia 14 tahun di sebuah rumah di Padawan.
Mangsa juga dibawa oleh bapanya ke farmasi dan dipaksa makan pil
pencegahan kehamilan selepas dirogol, dan selepas tidak tahan dengan
keadaan tersebut, mangsa bertindak memberitahu ibunya mengenai perlakuan
bapanya itu melalui aplikasi WeChat.
Tertuduh ditahan beberapa bulan lalu, selepas ibu mangsa membuat laporan polis.
Terdahulu, tertuduh, yang menundukkan muka sepanjang prosiding
berlangsung, memohon mahkamah meringankan hukuman atas alasan dia harus
menjaga tiga anak perempuan terasuk mangsa dan seorang lelaki.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Haresh Prakash memohon mahkamah
menjatuhkan hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh menyebabkan
mangsa trauma.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan