Oleh Ainor Rahim
BANGI: PAS mengumumkan parti itu sudah selesai dalam proses agihan
kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara,
demikian menurut Setiausaha Majlis Syura Ulama (MSU) PAS, Datuk Dr Nik
Zawawi Nik Salleh.
Malah katanya, parti itu juga sudah memuktamadkan senarai calon
sekurang-kurangnya tiga nama yang akan bertanding di peringkat Parlimen
pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
“PAS sudah siap. InsyaAllah kita berjaya menetapkan kerusi yang akan
kita bertanding di dalam Parlimen dan juga DUN bagi kerusi masing-masing
di seluruh negara.
“Kita sudah siap calon kita, setiap Parlimen kita ada tiga calon
sekurang-kurangnya dan semua senarai calon akan sampai kepada MSU,”
katanya kepada pemberita selepas mesyuarat MSU yang berlangsung di Bangi
hari ini.
Katanya, parti berteras Islam itu juga bakal menurunkan calon bukan
Islam mewakili parti untuk diletakkan bertanding di kawasan majoriti
bukan Islam.
“Itu orang lain, bukan kita (PAS). Kita bertanding atas tiket PAS. Kita
akan bertanding di kerusi-kerusi yang majoriti Islam, majoriti Melayu.
Ada calon-calon yang dihantar oleh PAS, di dalam Gagagan Sejahtera yang
akan bertanding di kawasan majoriti non Muslim.
“Ya, dalam PAS ada calon non Muslim, ada calon wanita. Calon wanita dalam PAS lebih ramai dari calon dalam Umno,” ujarnya.
Katanya, senarai akhir nama-nama calon akan diumumkan menjelang pengumuman tarikh PRU14.
Semalam, Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan
MSU telah meluluskan 90% senarai calon yang dihantar PAS negeri untuk
bertanding pada PRU14.
Sebelum ini, Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan
partinya mahu memenangi 40 buah kerusi dan mempertahankan Kelantan,
memerintah semula Terengganu dan Kedah, memimpin Selangor.
PAS berkata demikian, kerana mahu mempertahankan Islam dan memastikan
Islam memerintah, walaupun sukar untuk mendapat majoriti 112 kerusi dan
memerintah sendiri.
Pada PRU lalu PAS hanya menang 21 kerusi daripada 76 kerusi yang
ditandingi, DAP bertanding 51 kerusi danmenang sebanyak 38 kerusi dan
PKR pula menang 30 kerusi daripada 99 kerusi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan