Selasa, 27 Februari 2018

PAS tak paksa jadi calon - Nik Zawawi [TONTON VIDEO]

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
SHAH ALAM: PAS Pusat masih belum dimaklumkan dengan hasrat ADUN Sijangkang, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi yang berhasrat untuk tidak lagi bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini.
 
Perkara itu dimaklumkan sendiri Setiausaha Majlis Syura Ulama (MSU), Datuk Dr Nik Zawawi Nik Salleh ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
 
Malah katanya, PAS bersikap terbuka dan tidak memaksa ahlinya sekiranya mereka enggan bertanding.
 
"Belum, belum (dimaklumkan).
 
"Kalau dia (Yunus) tidak mahu lagi (jadi wakil rakyat) kita tidak boleh paksa.
 
"Kami dalam PAS kita tidak menganggap jawatan ini sebagai satu kemuliaan, sebab itu alhamdulillah dalam PAS, orang tidak berebut," katanya.
 
Semalam, Ahmad Yunus yang Timbalan Pesuruhjaya I PAS Selangor, menyatakan hasratnya untuk tidak lagi mahu menjadi wakil rakyat pada penggal akan datang.
 
Kata Exco Selangor itu, tempoh dua penggal bergelar wakil rakyat sudah memadai, namun beliau tetap akur jika diarahkan PAS Pusat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kali ini.
 
Ahmad Yunus turut memberitahu beliau sendiri tidak pasti sama ada namanya masih tersenarai untuk menjadi calon lagi atau tidak.
 
Mengulas perkara itu, Nik Zawawi mengesahkan nama wakil rakyat tersebut masih ada dalam senarai tiga orang calon yang akan bertanding.
 
Namun ujar beliau lagi, keputusan sama ada Ahmad Yunus akan dikekalkan sebagai calon ADUN Sijangkang dan calon Ahli Parlimen Kuala Langat masih belum dimuktamadkan.
 
"Ada (masih dalam senarai nama calon).
 
"Nama disetiap DUN atau parlimen kita ada tiga orang calon, maknanya pihak pusat akan pilih tetapi calon tiga orang, salah seorang daripadanya beliau," ujarnya lagi.
 
Sabtu lepas, Majlis Syura Ulama PAS mengumumkan parti itu sudah selesai dalam proses agihan kerusi Parlimen dan DUN di seluruh negara.
 
Malah, parti itu juga sudah memuktamadkan senarai calon sekurang-kurangnya tiga nama yang akan bertanding di peringkat Parlimen pada PRU14 akan datang.
 
 
 

Tiada ulasan: