Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Isu agihan kerusi DUN sesama parti komponen Pakatan Harapan
(PH) di Selangor yang sepatutnya dimuktamadkan hari ini masih belum
berjaya diselesaikan.
Perkara itu disahkan Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya PH Selangor, Dr
Xavier Jayakumar ketika dihubungi Antarapos sebentar tadi.
"Belum selesai, kita ada masa lagi untuk selesaikan," katanya ringkas.
Perkembangan itu mencetuskan persoalan adakah Majlis Presiden PH (MPPH)
akan mengambil alih rundingan agihan kerusi di negeri berkenaan
memandangkan badan tertinggi gabungan empat parti itu minggu lalu
berkata akan campur tangan jika ia gagal diselesaikan sehingga Isnin
(hari ini).
Sebelum ini, rundingan kerusi PH di Selangor yang dipengerusikan
Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, masih gagal dimuktamadkan,
ekoran terdapat pertindihan tuntutan kerusi antara PPBM dan PKR
berhubung 12 kerusi dimenangi Barisan Nasional (BN).
Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR sebelum ini menyatakan
keyakinannya bahawa PH negeri itu akan mencapai kata sepakat bersabit
soal agihan kerusi DUN tanpa perlu membawa perkara berkenaan ke
peringkat Majlis Presiden.
Rundingan pengagihan kerusi DUN Selangor sepatutnya diselesaikan pada
31 Januari lepas, namun dilanjutkan kepada 7 Februari berikutan gagal
mendapat kata sepakat.
Mengulas lanjut Xavier menyatakan rasa hairannya mengapa pemberita
begitu ingin tahu perkembangan agihan kerusi PH Selangor walhal
rundingan seumpamanya di negeri lain belum juga disepakati.
"Kenapa media berminat sangat dengan kerusi di Selangor? BN juga masih belum selesai.
"Lepas selesai kita akan bagitahu dunia," katanya berseloroh.
Jumaat lalu, PH Pulau Pinang menyerahkan kepada MPPH untuk
menyelesaikan tuntutan bertindan enam kerusi membabitkan PKR, Amanah dan
PPBM.
Enam kerusi berkenaan adalah Bertam, Sungai Dua, Telok Ayer Tawar, Sungai Acheh, Pulau Betong dan Telok Bahang.
DAP tidak terlibat kerana kepada parti itu, status quonya kekal.
PH akan mengadakan mesyuarat mingguannya esok (Selasa), namun tidak
dapat dipastikan adakah gagasan itu akan mengumumkan status terkini
agihan kerusi sesama empat parti komponennya, atau tidak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan