SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terpaksa berehat seketika selepas cedera tulang belakang.
Perkara ini didedahkan exco kerajaan negeri Datuk Teng Chang Kim ketika
majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina peringkat Selangor di Petaling
Jaya malam tadi.
Azmin tidak hadir ke majlis itu, lapor Malaysiakini.
"Beliau memohon maaf kerana tidak dapat bersama malam ini kerana menghadapi masalah 'annular disc tear'.
"Atas nasihat tegas doktor, beliau dikehendaki menjalani rawatan di
hospital termasuk prosedur fisioterapi intensif untuk satu tempoh yang
secukupnya," kata Teng dalam ucapannya.
Difahamkan Azmin yang juga timbalan presiden PKR akan menjalani rawatan pemulihan selama seminggu.
Kecederaan tulang belakang dialami Datuk Seri Azmin Ali berlaku ketika
beliau teruja mahu menyambut cucu sulungnya kata jurucakap kerajaan
Selangor hari ini.
Menurut Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar Selangor
Yin Shao Loong, Azmin sedang membersihkan rumahnya dan menyusun semula
perabot di situ apabila kecederaan berlaku.
"Menteri Besar Selangor sedang menjalani rawatan terapi tulang
belakang (fisioterapi) dan perlu berehat dengan cukup sebelum boleh
memulakan tugas," katanya.
Menurut Yin Azmin kini tidak sabar untuk segera pulih 100 peratus supaya dapat kembali menjalankan tugas seperti biasa.
Azmin, 53, dikurniakan cucu sulungnya pada 14 Feb lalu. Bayi itu
adalah hasil perkongsian hidup anak pertama menteri besar Selangor itu
Farah Shazliyana dengan Muhammad Syaqib Zainudin.
Pasangan Azmin dan Datin Seri Shamshida Taharin dikurniakan enam anak.
Selain Farah Shazliyana, lima lagi anak mereka ialah Mohamed Ameer
Shazrin, 25; Farah Amira, 24; Farah Afifah, 22; Mohamed Basheer Noor
Al-Haq, 17; dan Mohamed Yusuf Al-Sadiq, 16.
Azmin kini dihambat isu agihan kerusi di Selangor yang belum menemui kata sepakat antara PKR, DAP, Amanah dan PPBM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan