Selasa, 27 Februari 2018

PH akan tanding guna satu logo pada PRU14 - Dr M

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) mengumumkan bakal bertanding menggunakan satu logo sahaja pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan, gagasan itu memutuskan untuk menggunakan salah satu logo parti komponen yang menganggotai gagasan itu, sekiranya Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) tidak meluluskan pendaftaran mereka.
 
"Buat sementara waktu ini, kita buat keputusan iaitu kita parti PH akan menggunakan satu logo sahaja dalam pilihanraya. Ini keputusan kita. Iaitu semua parti akan menggunakan satu logo. 
 
"Kita akan pilih satu simbol daripada mana-mana parti dalam PH. Pilih satu daripada empat parti.
 
"Sama ada dilulus atau pun tidak kita akan guna satu logo sebagai identiti kita dalam pilihan raya yang akan datang ini," katanya pada sidang media sebentar tadi.
 
Walau bagaimanapun Dr Mahathir berkata, gagasan pembangkang itu masih belum memutuskan logo parti mana yang bakal digunakan.  
 
"Yang itu kita belum boleh isytihar lagi tapi kita akan ada satu logo sahaja untuk semua parti. 
 
"Parti mana kita belum tentukan tetapkan tetapi bila satu parti itu bersetuju supaya simbolnya diguna oleh parti-parti yang lain oleh PH (dan) parti itu kena bagi kebenaran kepada sesiapa sahaja nak guna simbol parti," jelasnya.
 
 

Tiada ulasan: