PETALING JAYA: Penghibur kontroversi Namewee menyerah diri di Balai
Polis Bukit Aman hari ini selepas menjadi buruan polis awal minggu ini,
ekoran memuatnaik klip video “Like a Dog” yang didakwa mengguris
sensitiviti masyarakat berbilang kaum.
Beliau hadir ke Bukit Aman untuk memberikan keterangan dan selepas itu ditahan reman bagi membantu siasatan.
Perkara itu dimaklumkan di laman sosial Facebook Namewee.
“Kami akan sentiasa memberikan kerjasama pada pihak polis. Saya tidak
gentar kerana saya percaya Malaysia mempunyai keadilan. Terima kasih
pada semua yang sokong Namewee,” menurut Facebooknya.
Polis baru-baru ini mengumumkan kertas siasatan dibuka terhadapnya dan
mereka bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(SKMM) bagi menyiasat klip video kontroversi itu.
Video “Like a Dog” memaparkan penghibur itu menyanyikan tentang
bunyi-bunyian salakan anjing dari serata dunia, sambil diiringi penari
yang memakai topeng menyerupai kepala anjing.
Dalam video itu, anjing Malaysia mengeluarkan bunyi “mari-mari, wang
wang”, dipercayai merujuk kepada gejala rasuah di negara ini.
Namewee sebelum ini menjelaskan video sempena Tahun Baru Cina itu hanya hiburan dan tidak berniat menghina agama.
Beliau berkata dakwaan penggambaran video itu dibuat di depan masjid adalah tidak benar dan tidak pernah berlaku.
Kes disiasat bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan