KLANG: Gara-gara ejekan, seorang lelaki maut ditikam rakan baiknya yang
juga orang kelainan upaya (OKU) dalam satu kejadian di sebuah rumah di
Pandamaran, Klang, petang semalam.
Mangsa, seorang lelaki yang berusia 55 tahun itu dipercayai meninggal
dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang
(HTAR).
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli berkata dalam
kejadian kira-kira jam 6 petang Sabtu itu, mangsa ditemui rebah di
hadapan rumah suspek oleh seorang jirannya, yang kemudian meminta orang
ramai menghantar mangsa ke hospital.
Bagaimanapun kata Shamsul Amar, mangsa meninggal dunia ketika dalam
perjalanan ke HTAR akibat kecederaan parah pada bahagian dada akibat
tikaman senjata tajam.
Katanya, terdahulu, pihaknya menerima laporan daripada seorang doktor
yang memaklumkan ada lelaki tidak sedarkan diri akibat ditikam dengan
senjata tajam di bahagian dada.
Menurut Shamsul Amar, siasatan awal mendapati motif pembunuhan ekoran
suspek - berumur 51 tahun - dipercayai kurang senang dengan mangsa
kerana sering mengejek keadaan fizikalnya yang kudung kaki kanan.
“Kedua-dua lelaki itu berkawan baik dan mangsa sering ke rumah suspek
untuk menghabiskan masa bersama, namun tindakan mangsa yang sering
mengejek lelaki OKU itu disyaki mendorong dia untuk menikam rakan
baiknya,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Shamsul Amar berkata susulan kejadian itu, suspek ditahan polis kira-kira jam 8 malam tadi di rumahnya.
Polis juga menemui sebilah pisau yang masih mempunyai kesan darah dipercayai digunakan untuk menikam mangsa.
Beliau berkata mayat mangsa kini berada di Unit Forensik HTAR dan proses bedah siasat akan dijalankan 10 pagi ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan