Temubual
bersama Ketua Peneroka Felda Lurah Bilut, Md Zulkifle Md Yunus sempena
Pelancaran Felda 2.0 di Bentong, Pahang. foto IMRAN FAKHRI
BENTONG – Kebergantungan peneroka tanah rancangan Felda
kepada sektor perladangan dan pertanian bakal berubah sekelip mata
menjadi industri berteras ekonomi digital apabila konsep bandar pintar
terlaksana sepenuhnya menjelang 2050.
Menurut Ketua Peneroka Felda Lurah Bilut, Pahang, Md Zulkifle Md
Yunus, 59, penantian masyarakat peneroka hampir 60 tahun kepada
pembaharuan bakal tercapai menerusi Lembah Digital yang diperkenalkan
dalam Felda 2.0.
Katanya, idea Felda 2.0 yang diilhamkan pengerusinya, Tan Sri Shahrir
Abdul Samad bakal membuka lembaran baharu dalam sejarah penubuhan tanah
rancangan itu bagi menjadi kehidupan generasi akan datang.
“Selama ini peneroka Lurah Bilut mengharapkan satu pembaharuan hampir
60 tahun dari segi perladangan dan pertanian. Generasi seterusnya tak
mahu lagi industri komoditi semata-mata.
“Kalau ada pun mesti pertanian moden, bila kita menggunakan teknologi
baharu ini, kita mesti pandang jauh di mana kita tak mahu eksport getah
semata-mata.
“Kita mahu getah itu jadi satu produk untuk digunakan oleh masyarakat antarabangsa.
“Saya berharap Perdana Menteri dapat meneruskan cita-cita
transformasi ini, kalau boleh dibuat di semua tanah rancangan Felda ke
arah dunia digital,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, baru-baru ini. Model rumah peneroka di Muzium Felda Lurah Bilut, Pahang foto IQBAL BASRI,
Zulkifle berkata, pengwujudan Lembah Digital di kawasan luar bandar
tidak pernah diimpikan selama ini, bahkan transformasi itu banyak
memberi kelebihan kepada anak-anak peneroka yang berhijrah ke kota.
“Ramai (anak peneroka) berjaya di luar sana (bandar), Felda 2.0 cuba
tarik kembali agar mereka buat di tempat sendiri sekali gus boleh
membantu generasi ketiga, empat dan seterusnya untuk menjana pendapatan
tinggi.
“Kalau kita tengok sekarang sudah ada internet berkelajuan tinggi,
kemudahan riadah dan ia bakal menjadi destinasi menarik untuk menarik
kehadiran pelancong,” jelasnya.
Katanya, sebagai pemimpin komuniti itu, dia berharap Perdana Menteri
dapat mempertimbangkan agar tanaman selain kelapa sawit dapat diusahakan
secara komersial untuk menjana pendapatan sampingan kepada mereka.
“Walaupun ada Lembah Digital, kita mahu peluang mencari pendapatan
sampingan pertanian secara kecil-kecilan diberikan, kalau ada lot-lot
tanah kosong, diberi kelonggaran untuk buat tanaman lain bagi menjana
industri hiliran,” katanya.
Sementara itu, Zulkifle tidak menafikan kehidupan zaman
kanak-kanaknya semasa Lurah Bilut baru dibangunkan sangat sukar
memandangkan 616 peneroka yang ditempatkan di situ perlu membuka kawasan
untuk penanaman kelapa sawit.
Tambahnya, memandangkan hasil tanaman kelapa sawit dan getah hanya
membuahkan hasil antara enam ke tujuh tahun, peneroka Lurah Bilut
mengusahakan tanaman padi bukit untuk meneruskan kelangsungan hidup.
“Umur saya sekarang 59 tahun, pada awal pembukaan, kawasan ini
kehidupan peneroka terlalu susah di mana Lurah Bilut ini perlu diteroka,
tiada apa-apa ketika itu, tiada sawit, tiada getah.
“Orang-orang lama dulu mereka menanam padi untuk hidup sementara
tanaman kelapa sawit dan getah boleh dituai hampir 10 tahun,” ulasnya.
Katanya lagi, Lurah Bilut jauh berbeza berbanding di awal pembukaan
kawasan itu di mana hampir semua infrastuktur asas sudah tersedia di
sini.
“Kemudahan sekolah cukup untuk tiga kaum di sini, begitu juga tempat
ibadah pun lengkap, sama ada untuk penganut Islam, Hindu dan Buddha.
“Bilut ini boleh dikatakan masa tahun 80-an boleh dikatakan sudah lengkap kemudahanya.
“Kita nampak terlalu cepat perubahan berlaku sebab saya kembali ke
Lurah Bilut pada 2005 selepas bersara sebagai anggota polis,” katanya. –
MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan