Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) hari ini menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan Kuching membatalkan permohonan empat individu warga Sarawak untuk mengisytiharkan diri mereka keluar dari Islam.
Ketua Penerangannya Datuk Ruslan Kassim berkata, dengan keputusan Mahkamah Persekutuan Kuching bahawa kes murtad hendaklah di dengar di Mahkamah Syariah dan hanya Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa untuk memutuskannya diterima sebagai suatu justifikasi dan pensejajaran kembali aspek penguatkuasaan undang-undang di negara ini.
Katanya dengan keputusan itu ia sekaligus dianggap langkah pemerkasaan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara.
“Perkasa amat mengalu-alukan keputusan tersebut dan menyifatkannya dibuat tepat pada waktunya kerana sekurang-kurangnya meredakan kegelisahan orang Melayu yang selama ini masih tetap bersabar dengan asakan sentimen kebencian kaum dan agama, khususnya terhadap bangsa Melayu dan Islam, yang dilakukan oleh segelintir rakyat negara ini,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas mengenai Mahkamah Persekutuan Kuching hari ini, membatalkan permohonan empat individu warga Sarawak untuk mengisytiharkan diri mereka keluar dari Islam
Keputusan dibuat lima panel hakim dianggotai Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Ramly Ali dan Tan Sri Jeffrey Tan selepas meneliti permohonan berkenaan, termasuk hujah berkaitan.
Walaupun Mahkamah Syariah Sarawak tidak memiliki kuasa dalam kes itu, namun isu berkenaan masih tertakluk kepada bidang kuasa diperuntukkan kepada Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).
Permohonan itu dibuat Syarifah Nooraffyza Wan Hosen, Jenny Peter@ Nur Muzdhalifah Abdullah, Mohd Syafiq Abdullah@ Tiong Choo Ting dan Salina Jau Abdullah.
Menurut Ruslan lagi, Perkasa yakin agenda berjadual mereka akan terus dilancarkan bagi mengubah persepsi tentang kedudukan bangsa Melayu dan kaum Bumiputera sebagai bangsa pentakrif di bumi ini serta membuat justifikasi sembrono mereka dalam hal kesamarataan tanpa mengambil kira faktor keabsahan sejarah, nasab permastautin dan hakikat pemilikan bangsa Melayu dan kaum Bumiputera terhadap wilayah perpolitikan Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.
“Perkasa turut merasa lega dengan penolakan Mahkamah Persekutuan di Kuching terhadap permohonan rayuan empat individu untuk mendapat perisytiharan di Mahkamah Sivil dan menganggap penolakan tersebut sebagai pemulihan dan penegakan kembali perkara-perkara dasar dalam pengurusan tatacara bernegara,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan