Khamis, 22 Februari 2018

Rumah mahal, apa nasib rakyat tempatan?

SELANGOR KINI




Saya ambil maklum kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa harga rumah kediaman di Malaysia kekal tidak mampu dimiliki kebanyakan isi rumah pada 2016, berikutan kegagalan pasaran menyediakan rumah mampu milik yang mencukupi.

Jelas BNM lagi, isu berkenaan sebahagian besarnya disebabkan oleh ketidakpadanan penawaran dan permintaan, berbanding pertumbuhan pendapatan yang lebih perlahan.

1) Inilah keadaan yang amat membimbangkan rakyat Malaysia, mereka tidak mampu untuk membeli rumah yang berharga lebih daripada RM250,000. Sepatutnya kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) mencari jalan penyelesaian untuk masalah ini dan berbincang dengan pemaju untuk membina rumah mampu milik, bukannya rumah mampu tengok.

Bank pusat itu turut menjelaskan bahawa pertumbuhan pendapatan isi rumah tidak selari dengan peningkatan harga kediaman ekoran ketidakpadanan permintaan bekalan yang membimbangkan.

Jjumlah harta kediaman yang tidak terjual di Malaysia juga berada pada paras tertinggi satu dekad, iaitu 146,4977 unit pada suku kedua 2017.

Malah, berlaku peningkatan daripada 130,690 unit pada suku pertama 2017. Ini bermakna hampir 82 peratus unit tidak terjual berharga melebihi RM250,000.

2) Lebih malang lagi di Melaka, kerajaan negeri mahu mewujudkan perumahan khas pekerja warga asing. Berdasarkan Laporan Perangkaan Separuh Tahun Pertama 2017 bagi status projek perumahan swasta di Melaka, bagi status perumahan lancar Jun 2017, bilangan projek adalah 82, unit rumah pula 13181 dan bilangan pembeli adalah 8273.

Bagi status perumahan lewat pula, bilangan projek adalah 10, unit rumah adalah 1066, dan bilangan pembeli sebanyak 892. Untuk status perumahan sakit pula, bilangan projek adalah 10, unit rumah pula adalah 1838, manakala bilangan pembeli adalah 942.

Ini statistik perangkaan perumahan untuk tahun lepas di negeri itu, betapa rakyat amat memerlukan rumah mampu milik, tetapi kerajaan negeri dibawah Umno BN sibuk ingin membina rumah untuk warga asing. Keadaan ini boleh di ibaratkan seperti ‘anak kera dihutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan’.

3) Kebanyakan rakyat yang gagal untuk membeli rumah adalah terdiri daripada golongan anak-anak muda dan juga bagi mereka yang baru mendirikan rumah tangga. Antara sebabnya adalah kerana gaji mereka yang masih berada di paras sederhana dan rendah.



Selain itu, tekanan daripada kos sara hidup yang tinggi, bebanan hutang pendidikan iaitu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang membawa kepada kos harga barang semakin mahal.

4) Oleh sebab itu, saya minta agar pihak kerajaan yang prihatin ini untuk fokus terhadap rumah mampu milik dan membinanya mengikut purata pendapatan rakyat hari ini, terutamanya mereka yang golongan berpendapatan rendah.

Saya lihat dasar Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) dan juga Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) juga bukan murah dan agak mahal, malah sebanding dengan perumahan mewah yang lain.

Harganya pula dikatakan melebihi paras RM300,000 seunit. Bagaimana rakyat mampu beli?

5) Sehubungan dengan itu, sekiranya Pakatan Harapan menang dalam Pilihan raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan mendapat kepercayaan dan sokongan daripada rakyat, pastinya isu rumah mampu milik dilaksanakan sebaiknya.

Itu antara manifesto yang ditekankan oleh Pakatan Harapan sebelum ini. Pakatan Harapan telah mencadangkan kesemua badan perumahan berkanun digabungkan menjadi satu badan pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk menyediakan perumahan berpatutan dan berkualiti.

Bahkan, Pakatan Harapan akan melaksanakan sewa beli untuk perumahan mampu milik pada harga yang terkawal.

Inilah kegagalan kerajaan Umno BN yang tidak menepati janji untuk menyediakan 1.5 juta unit rumah mampu milik menjelang 2018. Ini sangat memalukan buat kerajaan Umno BN dan ini membuktikan parti pemerintah itu tidak layak untuk terus berada di Putrajaya.

Prasanth Kumar Brakasam
Setiausaha Angkatan Muda KEADILAN Melaka
Parti KEADILAN Rakyat

Tiada ulasan: