Jumaat, 23 Februari 2018

PRU14 pertarungan ‘quinoa lawan beras’, kata Kit Siang”



lim-kit-siang

GEORGE TOWN: Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang hari ini mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tentang bijirin “quinoa” yang dikatakan 23 kali lebih mahal berbanding beras.

Beliau berkata Najib memakan “quinoa”, sejenis bijirin dari pergunungan Andes di Peru, Amerika Selatan, ketika kebanyakan isi rumah sedang bergelut meneruskan kehidupan.

Lim berkata berseloroh mengatakan pilihan raya umum ke-14 nanti akan menyaksikan pertarungan “quinoa lawan beras”, “bersih lawan kleptrokrasi” dan “Najib lawan rakyat”.

“Saya tidak pernah dengar tentang ‘quinoa’, apatah lagi kewujudannya, sehingga sesi siaran langsung tentang Bajet 2018 oleh Najib baru-baru ini.

“Saya percaya semua kedai organik berterima kasih kepada Najib kerana mempromosikan ‘quinoa’,” kata Lim kepada pemberita di ibu pejabat DAP Pulau Pinang hari ini.

Dalam sesi soal jawab mengenai belanjawan negara 2018 di Universiti Kebangsaan Malaysia semalam, Najib berkata beliau tidak makan beras tetapi “quinoa” yang diperkenalkan anaknya.

Beliau berkata bijirin itu lebih baik daripada beras kerana tinggi protein dan rendah gula dan karbohidrat.

Menurut Lim, harga 250g pek “quinoa” organik di Tesco adalah RM14.80.

“Ini bermakna 10kg (quinoa) akan menelan kos RM591.60. Bagaimanapun, pek 10kg Jasmine Super Special (5% beras hancur) berharga RM25.85.

“Dengan kata lain, quinoa yang Najib makan kira-kira 23 kali lebih mahal daripada beras yang dimakan 30 juta rakyat.”

Lim berkata Najib perlu memberi perhatian kepada kata-kata Pengarah Urusan Mydin Datuk Ameer Ali Mydin, yang baru-baru ini mengatakan rakyat tidak mempunyai wang untuk membeli barangan kepada harga barang keperluan meningkat dengan ketara.

“Sementara itu, dia (Najib) mempromosi makan ‘quinoa’ dan bukan beras, lalu membezakan dirinya dengan rakyat biasa, sama ada golongan kelas atasan 20% (T20), 40% pertengahan (M40) atau bawahan 40% (B40), meletakkan dirinya sebagai golongan paling atas 2% (Super T2).

“Najib perlu memberi perhatian lebih kepada pandangan Ameer baru-baru ini…mungkin pertumbuhan ekonomi negara dilihat kukuh tetapi pengguna nampaknya tidak mempunyai wang yang cukup untuk membeli barangan.

“Barangkali Najib perlu mula mengedarkan ‘quinoa’ semasa kempen pilihan raya.”

Tiada ulasan: