Sabtu, 10 Februari 2018

Shafie selar Hishammuddin berhubung tugas Rela di ESSZone

Shafie selar Hishammuddin berhubung tugas Rela di ESSZone
Parti Warisan Sabah Shafie Apdal mempersoalkan tindakan kerajaan menugaskan angota Rela menjaga keselamatan di Zon Keselamatan Timur Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 
 
ANGGOTA Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) tidak dilatih atau dilengkapi senjata untuk memastikan keselamatan di Zon Keselamatan Timur Sabah (ESSZone), yang sepatutnya diawasi oleh pihak tentera, kata Mohd Shafie Apdal.

Ahli Parlimen Semporna hari ini mempersoalkan mengapa anggota tentera dari pantai timur negeri itu tidak dapat dikerahkan ke ESSZone, mengatakan kerajaan persekutuan seharusnya memahami situasi keselamatan di sana, di mana perintah berkurung senja hingga subuh diambil kerana ancaman militan bersenjata selatan Filipina.

"Apabila kakitangan Rela di Semporna meminta pendapat saya, kerana mereka adalah saudara mara saya, dan saya juga ahli Parlimen, saya perlu menjaga nyawa, kebajikan dan keselamatan mereka.

"Bagaimana (kerajaan) sanggup menggunakan mereka (kakitangan Rela) sedangkan kita mempunyai ramai anggota angkatan bersenjata di Kem Perbandaran di Kota Belud dan kem Lok Kawi, yang sangat diperlukan di tempat-tempat seperti Semporna?

"Mereka ini (anggota tentera) dilatih untuk menggunakan pelbagai jenis senjata, sementara Rela, tidak," katanya kepada pemberita ketika mengadakan perarakan Tahun Baharu Cina di Luyang, Kota Kinabalu pagi ini.

Beliau berkata akta Rela jelas menyatakan mengenai peranan kakitangan, yang termasuk tugas mengarahkan trafik dan menjalankan kerja-kerja kemasyarakatan.

Beliau berkata ini tidak tepat untuk mereka dihantar ke kepulauan di ESSZone dengan hanya bersenjatakan tongkat kayu dan pakaian seragam mereka, di mana terdapat kebarangkalian mereka perlu melibatkan diri dalam pertempuran dengan mereka yang bersenjata di sempadan.

"Mereka dibayar RM9 sejam, dengan maksimum lapan jam (waktu bekerja). Mereka tidak mempunyai gaji atau pencen, dan jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini kepada mereka, adalah tugas saya, sebagai ahli Parlimen, saudara, untuk menjaga kebajikan mereka."

Pada Jumaat, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein, merujuk kepada Shafie, berkata "ahli politik tidak harus campur tangan dalam hal-hal ketenteraan".

Beliau juga mempersoalkan niat Shafie membangkitkan perkara itu sekarang, dan bukannya ketika bekas menteri itu masih dalam Kabinet.

"Mereka (kakitangan Rela) tidak ditugaskan ketika itu. Tetapi sekarang, mereka ditugaskan," kata Shafie.

"Inilah sebabnya saya mula mempersoalkan perkara itu ... Mereka (Hishammuddin) tidak mengalami apa yang saya alami di barisan depan di Semporna semasa pencerobohan Tanduo 2013.

"Bagaimana jika pengundi saya menjadi mangsa penceroboh? Jika anda (Hishammuddin) adalah ahli Parlimen kawasan itu, adakah anda akan diam apabila orang anda dihantar ke barisan hadapan? Saya tidak fikir begitu."

Tiada ulasan: