Sabtu, 10 Februari 2018

Pemimpin digesa bangkit selamatkan Kuala Lumpur dari pembangunan berlebihan

Pemimpin digesa bangkit selamatkan Kuala Lumpur dari pembangunan berlebihan  
Ahli Selamatkan Kuala Lumpur menunjukkan risalah yang diagihkan untuk meningkatkan kesedaran berkaitan pembangunan berlebihan di Kuala Lumpur pada World Urban Forum yang diadakan di Pusat Konvensyen KLCC hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain,
 
AHLI Parlimen di Kuala Lumpur perlu "sedar" dan menjaga bandaraya ini daripada pembangunan dan kelulusan untuk lebihan pembangunan, kata ketua gabungan persatuan penduduk hari ini.

Pengerusi Selamatkan Kuala Lumpur Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, bukan sahaja ahli Parlimen, tetapi parti politik juga perlu memainkan peranan untuk memperjuangkan kelestarian pembangunan di bandaraya itu.

"Parti politik juga perlu membangkitkan isu ini, semua ahli Parlimen di Kuala Lumpur perlu bangkitkan isu ini, mereka perlu sedar.

"Saya rasa mereka tidak memahami dan langsung tidak peduli dengan masalah di Kuala Lumpur," kata Aziz kepada The Malaysian Insight ketika ditemui pada  World Urban Forum 9 (WUF9) yang diadakan di Pusat Konvensyen KLCC, hari ini.

Aziz yang mewakili 30 persatuan penduduk, hadir pada acara itu bagi membantah dan menyerahkan memorandum berhubung pembangunan berlebihan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Oleh kerana pegawai kanan dewan tidak hadir untuk menerima memorandum itu, Aziz berkata beliau akan menyerahkannya kepada pengarah Jabatan Perancangan Bandar DBKL, Mohd Najib Mohd pada 22 Februari depan.
Pengerusi Selamatkan Kuala Lumpur Dr Abdul Aziz Abdul Rahman yang mewakili 30 persatuan penduduk di bandaraya itu mengetuai bantahan yang diadakan hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 10 Februari, 2018.
Pengerusi Selamatkan Kuala Lumpur Dr Abdul Aziz Abdul Rahman 
yang mewakili 30 persatuan penduduk di bandaraya itu mengetua
bantahan yang diadakan hari ini. – Gambar The Malaysian Insight 
oleh Hasnoor Hussain,
"Saya rasa ramai yang tidak tahu bila terdapat permohonan untuk pembangunan, mereka menggunakan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 (untuk rujukan), namun ia tidak mencukupi.

"Ini kerana mereka masih belum menggazetkan pelan itu, dan mereka hanya luluskan pembangunan (sebagaimana yang mereka mahu) secara diam-diam," kata Aziz.

Ahli Parlimen pembangkang sebelum ini mendakwa DBKL beroperasi seperti "pertubuhan gelap" yang mengubah status tanah dengan sewenangnya tanpa mengambil kira keputusan itu.

Memandangkan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 masih belum digazetkan dan akan digantikan, pihak berkuasa bebas menukar status tanah untuk pembangunan di Kuala Lumpur, kata mereka.

"Bantahan kita hari ini adalah untuk mengetengahkan isu ini," kata Aziz.

Sementara itu, timbalan kepada Aziz dalam gabungan berkenaan, Mumtaz Ali memberitahu The Malaysian Insight, objektif mereka juga untuk mendemokratikkan pihak berkuasa tempatan.

"DBKL diterajui oleh ahli lembaga penasihat mereka sendiri, ia sepatutnya didemokrasikan dan dipilih oleh rakyat.

"Ahlinya dan datuk bandar perlu dipilih oleh penduduk Kuala Lumpur untuk penduduk Kuala Lumpur," katanya.

Menurutnya, memorandum kepada DBKL adalah untuk mengetengahkan demokrasi dalam majlis itu, penglibatan masyarakat, perlundungan ruang hijau dan memaksa pihak berkuasa tempatan itu menggazetkan dan menguatkuasakan pelan tempatan.

"Dewan bandaraya sepatutnya mewakili rakyat, tetapi di mana rakyat dalam dewan itu?" katanya. –

Tiada ulasan: