Sabtu, 3 Februari 2018

Selepas kes Indira, Pemuda PAS desak perkasakan Mahkamah Syariah.



 Selepas kes Indira, Pemuda PAS desak perkasakan Mahkamah Syariah. 
Naib ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin berkata Pemuda PAS mahu pihak berkuasa agama negeri untuk menyemak semula dan mengemaskini perundangan Syariah dan enakmen pentadbiran Islam.– Gambar fail The Malaysian Insight
 
PEMUDA PAS sekali lagi mendesak Putrajaya untuk memperkasakan Mahkamah Syariah selepas Mahkamah Persekutuan minggu lalu memutuskan untuk tidak membenarkan penukaran agama tanpa persetujuan bersama.

Naib ketua sayap Pemuda parti itu, Khairil Nizam Khirudin berkata Mahkamah Syariah perlu diberikan lebih kuasa dan pentadbiran agama Islam negeri perlu diperkukuhkan.

"Kita mahu pihak berkuasa agama negeri untuk menyemak semula dan mengemaskini perundangan Syariah dan enakmen pentadbiran Islam bagi melindungi masyarakat Islam dan juga mengambil kira masyarakat bukan Islam. 

"Ia bukan hanya memberikan keadilan untuk orang Islam tetapi juga memberikan keadilan kepada bukan Islam menerusi mahkamah Syariah," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

Mahkamah Persekutuan minggu lalu memutuskan penukaran agama tiga anak M. Indira Gandhi kepada Islam tidah sah dan terbatal, memerlukan persetujuan kedua-dua ibu bapa dan perkataan "ibu bapa" adalah kes hilang dalam terjemahan.

Sementara itu Khairil menegaskan Mahkamah Syariah perlu diperkasakan bagi menyelesaikan kes seperti Indira pada peringkat negeri dan tidak membawanya ke mahkamah persekutuan.

"PAS akan mengambil pendirian mahu memperkasakan Mahkamah Syariah di peringkat negeri agar ia mampu menyelesaikan masalah ini pada masa hadapan."

Sayap pemuda parti Islam itu juga mencadangkan agar kerajaan bertindak sebagai "orang tengah" antara orang Islam dan bukan Islam, bagi mengelakkan konflik agama berhubung kes penukaran agama.

"Kami menggesa kerajaan untuk membentuk satu mekanisme untuk menengahkan dan merasionalkan kepentingan Islam sebagai agama persekutuan.

"Pada masa yang sama untuk meminimumkan kerosakan yang mungkin berpunca daripada pertembungan membabitkan masyarakat berbilang agama yang boleh diselesaikan secara harmoni," kata Khairil 

PAS baru-baru ini menyuarakan bantahan terhadap mana-mana usaha untuk memperkenalkan semula Klausa 88A Akta Pembaharuan Undang-Undang (Perkahwinan & Perceraian) 1976 (LRA).

Ini termasuk memperkenalkan semula Klausa 88A yang menyatakan: agama kanak-kanak itu akan kekal sebagai agama semua pihak dalam perkahwinan sebelum penukaran itu.

Klausa itu turut menyatakan kanak-kanak boleh, selepas mencapai umur 18 tahun, dan dengan persetujuan kedua ibu bapa, menukar agama kepada Islam.

Klausa 88A akan menghalang penukaran agama tanpa persetujuan kedua-dua pihak oleh salah seorang ibu bapa Islam.

Ia digugurkan daripada akta itu kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, PAS dan kumpulan konservatif Islam menentang pengenalan 88A, mendakwa ia bertentangan dengan kelebihan orang Islam.

Dalam satu siaran pada lidah rasmi PAS, Harakah Online, ketua penerangannya Nasruddin Hassan berkata, parti Islam itu akan menentang mana-man cubaan untuk mengembalikan 88A dalam akta itu.

Dalam satu lagi siaran, pemimpin PAS Kelantan, Nik Baharum Nik Abdullah berkata satu-satunya cara untuk halang 88A dikembalikan ialah dengan meningkatkan jumlah ahli Parlimen PAS

Ketua biro perundangan dan hak asasi manusia PAS, Mohamed Fadzli Hassan turut mencadangkan Mahkamah Syariah dibuka kepada masyarakat bukan Islam agar mereka boleh tuntut hak mereka menurut undang-undang Islam.

Panel lima hakim yang diketuai Hakim Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin membuat keputusan sebulat suara minggu lalu bahawa penukaran agama tiga anak M. Indira Gandhi oleh bekas suaminya Muhammad Riduan Abdulah yang memeluk Islam adalah tidak sah dan terbatal.

Keputusan itu membatalkan keputusan majoriti 2-1 mahkamah rayuan pada 30 Disember 2015, untuk mengembalikan sijil penukaran tiga anaknya, yang telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh.

Mahkamah rayuan telah memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kesahihan penukaran agama anak-anak, yang dikatakan berada di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

Anak yang terbabit, dua perempuan dan seorang lelaki berusia 20, 19 dan 9 tahun, telah ditukar kepada Islam oleh bapa mereka, Riduan, 47, yang dahulu dikenali sebagai K. Pathmanathan, pada bulan April 2009 tanpa persetujuan Indira Gandhi, berikutan penukaran Riduan kepada Islam.

Mereka ketika itu berusia 12 dan 11 tahun, dan 11 bulan

Tiada ulasan: