SHAH ALAM: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan adalah
haram untuk orang Islam melaksanakan agenda memulau pilihan raya atau
merosak undi.
Ujar beliau, tindakan mereka yang menarik diri daripada tanggungjawab
menentukan nasib dan hala tuju masyarakat itu, boleh mengundang
kemudaratan kepada negara.
“Pilihan raya alat bagi memilih pemimpin yang wajib dalam kehidupan
bermasyarakat dan menjadi sebahagian daripada syariat Islam, sama ada
mewakilinya menjadi pemerintah secara langsung atau mewakili dalam
kewajipan amar maaruf dan nahi mungkar.
“Tindakan pemulauan atau merosak kertas undi adalah menempah kepada
keburukan yang lebih besar mudaratnya, apabila melakukan pilihan lebih
besar mudaratnya kepada negara dan umat,” katanya dalam satu kenyataan
media.
Abdul Hadi menambah memulau pilihan raya atau merosak undi bermakna
jumud dan tidak bersedia membuat perubahan politik kepada yang lebih
baik.
“Memulau pilihan raya juga mendedahkan kepada pilihan yang merosakkan
negara dan rakyat, sama ada secara bersendiri atau mengundang campur
tangan asing yang menjajah semula.
“Kalangan umat Islam yang memulau pilihan raya atau merosak undi adalah
menyerah kalah sehingga penentuan kuasa politik diserahkan kepada bukan
Islam yang menjadi salah satu dosa paling besar.
“Perkara inilah yang sangat dikehendaki oleh musuh Islam di dalam
negara atau di luar negara. Maka kalangan yang melaksanakan kempen
memulau pilihan raya sama ada kerana bodoh dan jahilnya atau
kesediaannya menjadi alat bagi memberi laluan mudah kepada musuh Islam
dan musuh negara,” katanya.
Kempen #Undirosak mula berlegar dan menjadi popular selepas pengumuman
rasmi Tun Dr Mahathir Mohamad dinamakan sebagai calon perdana menteri
Pakatan Harapan (PH) pada 7 Januari lalu.
Dr Mahathir diumum sebagai calon perdana menteri pembangkang pada Konvensyen PH kali ke-2 di IDCC Shah Alam, 7 Januari lalu.
Tanpa sebarang organisasi rasmi, aktivis-aktivis kempen menggunakan
akaun media sosial milik peribadi untuk menjual propaganda mengajak
masyarakat merosakkan undi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan