PUTRAJAYA: Siasatan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) terhadap
status mesyuarat agung tahunan (AGM) PPBM masih diteruskan, kata Ketua
Pengarahnya Surayati Ibrahim.
Ujar beliau lagi, pihaknya tidak mempunyai jangka masa khusus bagi menyelesaikan siasatan berkenaan.
"Siasatan membabitkan beberapa isu antaranya dakwaan AGM itu tidak sah
dan melanggar peraturan perlembagaan parti, selain laporan diterima
berhubung penubuhan sayap Pemuda dikenali Armada.
"Kita sudah mendapatkan keterangan Setiausaha Agung PPBM, Datuk Dr
Shahruddin Md Salleh dan Ketua Pemuda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
"Bagi pemimpin tertinggi parti itu, kita akan lihat keperluan sama ada perlu dipanggil atau tidak.
"Oleh kerana banyak isu perlu disiasat, kita memerlukan sedikit masa.
"Ini berbeza dengan keputusan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif
Pusat (CEC) DAP yang mana siasatan hanya membabitkan satu isu iaitu isu
pemilihan CEC itu," katanya seperti dilaporkan BH Online.
30 Disember lalu, PPBM mengadakan AGM pertama yang dihadiri 941
perwakilan daripada 137 bahagian di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah
Alam selepas diberikan amaran oleh RoS.
Susulan itu, AGM berkenaan mendapat bantahan pemimpin pelbagai
peringkat parti itu, apabila dikatakan ia tidak mengikut perlembangaan
parti.
Ketua Bahagian PPBM Temerloh Amerus Che Onn pada awal Januari, membuat
laporan kepada RoS dan menggesa siasatan dilakukan terhadap parti itu.
Amerus turut mendakwa kononnya AGM PPBM 'syok sendiri' berikutan
memperjuangkan kepentingan individu tertentu dan tiada inisiatif untuk
menyelesaikan kemelut dalaman parti.
Sebelum ini, RoS memberi amaran kepada PPBM kerana melakukan tiga
kesalahan iaitu tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan, menubuhkan
sayap Pemuda dikenali sebagai Armada dan menangguhkan mesyuarat agung
tanpa peruntukan dalam perlembagaan parti sehingga boleh menyebabkan
parti itu dibatalkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan