PUCHONG: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Mohamed
Azmin Ali memberi jaminan isu agihan kerusi yang masih membelenggu di
negeri itu akan diselesaikan sesegera mungkin dalam semangat
kekeluargaan.
“Saya yakin perkara ini boleh selesai dalam masa terdekat,” katanya
ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sambutan Perayaan Hari
Ponggal 2018 peringkat Selangor, malam tadi.
Isu agihan kerusi di Selangor menjadi hangat selepas pertikaian
berterusan daripada Amanah dan DAP yang mendakwa, mereka tidak tahu
tentang mesyuarat pengagihan kerusi DUN di Selangor seperti yang didakwa
Azmin.
Azmin yang juga Pengerusi PKR Selangor sebelum ini mendakwa empat
mesyuarat sudah diadakan untuk menentukan 80% kerusi DUN di Selangor.
Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim dan Pengerusi DAP Selangor Tony
Pua berkata mereka hanya menghadiri empat mesyuarat jawatankuasa
pilihan raya sahaja, yang membincangkan strategi untuk PRU14.
Jawatantankuasa Pilihan Raya dipengerusikan oleh ADUN Sri Andalas yang juga Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar.
Isu agihan kerusi itu turut mendapat perhatian Pengerusi PH, Tun Dr
Mahathir Mohamad, yang baru-baru ini mengumumkan satu jawatankuasa
ditubuhkan bagi menyelesaikan agihan kerusi di Selangor.
Menurut Dr Mahathir, jawatankuasa khas itu perlu ditubuhkan selepas
berlaku kekeliruan berhubung peranan jawatankuasa pilihan raya PH
Selangor yang dipengerusikan Xavier.
Kelmarin, Azmin berkata tiada jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk menyelesaikan isu agih kerusi di negeri itu.
Azmin berkata, Jawatankuasa Pilihan Raya Selangor yang kini digunakan
untuk rundingan agih kerusi mungkin akan ditukar namanya menjadi
Jawatankuasa Pengagihan Kerusi, dengan turut mengekalkan ahli
jawatankuasa yang sama.
Dalam pada itu Xavier dalam reaksinya kepada Antarapos sebelum ini
berkata, kegagalan memuktamadkan rundingan berkenaan turut berpunca
daripada sikap segelitir parti dalam PH yang berebut kerusi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan