BAGAN DATUK: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sedar bahawa beliau akan
kalah di Gombak, dan atas sebab itu beliau bertanding di kerusi Parlimen
Bagan Datuk atau Pekan, kata Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Kata Timbalan Perdana Menteri itu lagi, semua pihak sedia maklum
bahawa Parlimen Gombak yang diwakili oleh pemimpin pembangkang tersebut
mempunyai banyak masalah dan sedang menjadi rungutan rakyat.
“Saya dan perdana menteri mengalu-alukan mana-mana individu yang berniat bertanding sama ada di Bagan Datuk atau di Pekan.
“Harap sebelum berniat pindah kawasan, sila lakukan pembaikan
perkhidmatan di kawasan itu (Gombak) terutamanya dari segi kemudahan
asas kepada pengundi-pengundi kawasan itu,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan tiga
buah pusat Internet 1Malaysia kawasan Parlimen Bagan Datuk di Kampung
Telok Buloh, Hutan Melintang di sini hari ini.
Semalam, akhbar tempatan melaporkan Azmin yang juga menteri besar
Selangor itu menyatakan beliau sedang mempertimbangkan cadangan untuk
bertanding di kerusi Parlimen Bagan Datuk yang kini disandang Ahmad
Zahid dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Bagaimanapun, Azmin yang juga timbalan presiden PKR berkata beliau
masih menunggu dan perkara itu bergantung kepada keputusan pucuk
pimpinan.
Pada PRU13, Ahmad Zahid memenangi kerusi Parlimen Bagan Datuk dengan majoriti 2,108 undi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan