Rabu, 4 Oktober 2017

Tolak Oxford Tidak Perlu Sidang Media : Aktivis PSM Sindir Syed Saddiq

 
 



Sidang media sekadar untuk menyatakan penolakan untuk menyambung pelajaran di Universiti Oxford adalah sesuatu yang tidak perlu, kata aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM), E Nalini kepada Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Ramai orang berkorban pelbagai hal untuk negara ini. Ada yang korbankan hidup mereka; ramai yang korbankan kebebasan mereka; ramai yang korbankan kehidupan biasa-biasa dan menjalani kehidupan ringkas untuk perjuang apa yang mereka percaya.

“Mereka tak buat sidang media untuk beritahu mereka korbankan sesuatu.

“Anda anak muda, masih banyak peluang yang menunggu anda di luar sana. Jika anda buat sesuatu keputusan, ia adalah keputusan anda sepenuhnya, dan anda tak perlu buat diri sendiri kelihatan mulia melakukannya.

“Setiap rakyat Malaysia perlu berkorban sesuatu dalam cara tertentu untuk melihat perubahan,” kata Nalini sepertimana dilapor Malaysiakini.

Lapor portal itu lagi ramai pengguna media sosial turut bersetuju dengan Nalini dengan menulis di ruangan komen berkata bahawa Syed Saddiq boleh saja meneruskan “perjuangannya untuk Malaysia yang lebih baik” selepas menamatkan kursus ijazah sarjana (Master).

Ada pihak yang mengkritik Ketua Armada PPBM sebagai cuba mencari political mileage dengan pengumumannya itu, sementara ada juga yang mengatakan Nalini agak kasar dengan reaksi balasnya itu.

“Saya buat keputusan mengenepikan (biasiswa) Oxford dan mengutama dan memfokuskan perjuangan untuk Malaysia yang lebih baik.

“Parti politik bukan keutamaan. Tapi saya tahu jika saya ke Oxford, hati saya bukan di sana. Hati saya akan di Malaysia,” kata Syed Saddiq.

Tiada ulasan: