Oleh Syed Muaz Syed Putra
SHAH ALAM: Parti Sosialis Malaysia (PSM) tidak bimbang sekiranya
terpaksa berdepan saingan empat penjuru di kerusi yang ditandingi parti
berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
Pengerusinya Dr Mohd Nasir Hashim berkata meskipun PSM tidak dilihat
sebagai sebuah parti utama namun ia mempunyai kekuatan tersendiri
terutama di kawasan-kawasan yang pernah ditandingi dan dimenangi dalam
pilihan raya umum sebelum ini.
Beliau menambah PSM akan bertanding di kawasan di mana parti itu
“sekian lama menjalankan kegiatan dan memiliki sokongan akar umbi”.
"Yang lebih penting kita akan bertanding dan kita bertanding di tempat yang kita pernah buat kerja," katanya kepada Antarapos.
Menyedari saingan serta risiko yang bakal dihadapi pada PRU14, Mohd
Nasir berkata PSM juga tidak menolak kemungkinan akan bertembung dengan
Pakatan Harapan (PH) di beberapa kerusi di Selangor.
"Menang dan kalah itu lumrahlah tapi kita nak lihatlah kalau kita bertanding di tempat yang kita pernah buat kerja.
"Kalau kita kalah kita nak tahulah kenapa kita kalah tapi kita akan kaji balik dengan mengadakan post-mortem," katanya.
PSM juga katanya mensasarkan untuk bertanding lebih banyak kerusi pada PRU14 termasuk di Pahang dan juga Kelantan.
"Memanglah kali ini kita bertanding di banyak tempat tapi jumlah keseluruhannya tidak sampai tiga peratus pun.
"Yang nak pergi ke Putrajaya bukan kita, jadi yang selebihnya Pakatan
Harapan nak bertanding terpulang kepada merekalah," katanya.
Untuk rekod tsunami politik pada 2008 telah meletakkan Dr Jeyakumar
sebagai Ahli Parlimen Sungai Siput dan Mohd Nasir sebagai ADUN di Kota
Damansara.
PSM kini menyandang kerusi Parlimen Sungai Siput yang dimenangi
Jeyakumar atas tiket PKR pada PRU13 namun di kerusi DUN Kota Damansara
Mohd Nasir tewas selepas pertembungan tiga penjuru disebabkan kehadiran
calon PAS.
Difahamkan selain empat kerusi yang ditandinginya pada PRU13 iaitu
Sungai Siput, Kota Damansara, Jelapang dan Semenyih, PSM turut
disebut-sebut akan meletakkan calon di Parlimen Subang, Batu Gajah dan
Cameron Highlands.
Mahu beri laluan kepada calon muda
Dalam pada itu, bekas ADUN Kota Damansara itu juga sedang
mempertimbangkan untuk tidak bertanding di kerusi berkenaan pada PRU14
sekali gus berundur daripada pentas pertandingan itu.
Ujarnya, keputusan itu bertujuan bagi memberi peluang kepada muka baru
seterusnya membantu membentuk generasi pemimpin muda terutama dalam
parti itu.
"Sebenarnya kita ada beberapa calon, kita tak umumkan lagi. Kita juga
nak dedahkan kepada pemimpin muda untuk bertanding dan seterusnya.
"Jadi pada saya sama ada saya bertanding atau tidak bertanding
sebenarnya tidak menjadi isu kerana saya akan ada di sana juga,"
katanya.
Mohd Nasir berkata beliau akan memperkenalkan calon muka baru yang akan
menggantikannya di kerusi DUN Kota Damansara sekiranya memutuskan untuk
tidak kembali bertanding selepas gagal mempertahankan kedudukan selaku
wakil rakyat pada pilihan raya umum 2013.
Beliau berkata sebagai pemimpin senior beliau perlu bersedia memberi
laluan kepada calon muda untuk meneruskan agenda perjuangan parti itu.
"Kita pun memikirkan dari segi kesinambungan kepimpinan, itu yang kita buat sekarang ini.
"Hari yang dekat PRU14 nanti barulah kita umumkan siapa yang akan bertanding," katanya.
Mengulas lanjut Mohd Nasir berkata situasi itu juga menunjukkan PSM
sentiasa melakukan proses 'peremajaan parti' sebagai langkah untuk
meneruskan kesinambungan perjuangannya.
"Saya memang pertimbangkan bukan tidak pertimbangkan, memang itu tugas
kita untuk mendapatkan orang baru dan semangat baru kerana ini adalah
perjuangan, tiada apa yang nak berseorangan.
"Kita kena fikirkan kesinambungan, siapa yang layak, adakah mereka
berpengalaman dan apakah yang telah mereka lakukan," katanya.
Katanya, pemimpin muda perlu diberi laluan untuk bertanding dan
memberikan khidmat kepada rakyat terutamanya dalam berhadapan dengan
PRU14 yang akan diadakan pada bila-bila masa daripada sekarang.
"Itu semua kita akan ambil kira, dari segi itu bila dah penghujung kita
akan pastikan sama ada saya nak bertanding, orang saya akan bertanding
atau terpulang bagaimana nanti.
"Kita ada jawatankuasa yang akan menentukan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan