Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa notis rayuan yang difailkan
oleh setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak adalah sah.
Notis rayuan itu berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak
di Kuching untuk mengekalkan wakil DAP Dr Ting Tiong Choon sebagai ADUN
Pujut.
Ini di sebalik hujah peguam Ting bahawa notis itu tidak sah, kerana
keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Jun tidak dibawa ke DUN supaya 82
wakil rakyat Sarawak boleh mengundi sama ada untuk merayu keputusan
mahkamah tinggi.
Peguam Tan Kee Heng, yang mewakili Ting, berkata memandangan sidang DUN
tidak diadakan sejak Mei lalu, adalah tidak wajar bagi setiausaha untuk
memfailkan permohonan rayuan kerana beliau hanya mempunyai fungsi
pentadbiran.
Namun, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Rohana Yusof memutuskan
bahawa notis setiausaha itu, yang difailkan oleh pejabat Peguam Negara
Sarawak bagi pihak DUN adalah sah.
Dua lagi hakim yang bersidang sama adalah adalah Datuk Vernon Ong dan Datuk Suraya Othman.
Pada 12 Mei, DUN Sarawak melalui undian majoriti untuk membatalkan
keanggotaan Ting sebagai ADUN Pujut atas dasar bahawa beliaudidakwa
memiliki kewarganegaraan Australia.
Bagaimanapun, keputusan itu dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi pada bulan Jun.
Dengan keputusan hari ini, hakim menetapkan 26 Oktober untuk mendengar rayuan di Mahkamah Rayuan di Kuching.
Sidang DUN Sarawak dijadual bersambung pada 8 November ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan