Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar, Athirah Hanapiah dan Ainor Rahim
PETALING JAYA: Himpunan anti-Najib anjuran Pakatan Harapan (PH)
berakhir sebentar tadi dengan pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad
mengitar semula tuduhan-tuduhannya terhadap Perdana Menteri.
Perhimpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi di Padang Timur itu
dihadiri oleh kira-kira 10,000 pada kemuncak program sehari itu, jauh
lebih rendah daripada sasaran 100,000 yang diharapkan oleh penganjur.
Kehadiran Dr Mahathir pada petang dan kemudiannya sebelah malam gagal menarik jumlah sokongan yang diharapkan.
Paling ketara ialah bilangan rendah belia yang hadir sedangkan Pakatan
Harapan meletakkan harapan utama kepada golongan itu untuk meraih undi
pada pilihan raya umum akan datang.
Tema “Kleptokrasi” dipilih PH untuk melontar pelbagai tuduhan terhadap
Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan bersabit isu 1 Malaysia Development
Berhad (1MDB).
Dalam ucapannya Dr Mahathir sekali lagi mengungkit soal amanah dan kebertanggungjawaban untuk menyerang Perdana Menteri.
“Kita kena nyatakan tentangan kita terhadap pemimpin kerajaan seperti ini.
"Jadi sekarang nasib Najib di tangan kita. Kita boleh kalahkan Najib dengan pangkah PH,” kata Dr Mahathir.
Najib sebelum ini menegaskan di pihaknya tidak ada salah laku berlaku
dan beliau sendiri mengarahkan Parlimen dan pihak yang berkenaan
menyiasat kemelut kewangan 1MDB.
Siasatan dilakukan tanpa campur tangan dan tindakan-tindakan tertentu
sudah pun di ambil manakala 1MDB sendiri melalui proses rasionalisasi.
Selain Dr Mahathir, turut berucap adalah Presiden PH Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Video yang memuatkan ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim turut ditayangkan.
PH yang merangkumi DAP, PKR, PPBM dan Amanah, berharap untuk menawan
Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang harus diadakan
sebelum Ogos tahun depan.
Bagaimanapun pakatan itu dibelenggui oleh perbalahan dalaman dan ketiadaan penyelarasan untuk bergerak secara bersepadu.
PH juga dilihat tidak menawarkan penyelesaian mapan atas isu-isu yang dibangkitkannya seperti GST dan kos sara hidup.
Para penganalisis politik meletakkan perhimpunan anjuran PH hari ini
sebagai penanda aras terhadap sambutan rakyat untuk gabungan itu pada
pilihan raya kelak.
Kehadiran penyokong di bawah paras sasaran penganjur tentunya membawa
mesej yang berkemungkinan menggoyah keyakinan PH dalam hasratnya menawan
Putrajaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan