Isnin, 9 Oktober 2017

20 lelaki didakwa anggota ‘Geng Pak Su’

THE MALAYSIAN TIMES


ALOR SETAR: Seramai 20 lelaki dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyertai kumpulan jenayah terancang ‘Geng Pak Su’, yang aktif dalam kegiatan penyeluduan di sekitar sempadan Malaysia-Thailand, antara 2015 hingga tahun ini.

Kesemua tertuduh mengangguk faham semasa pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Amernudin Ahmad. Namun, tiada pengakuan direkodkan oleh kesemua tertuduh.

Mereka ialah Fairus Hafiz Mohd Yusoff, 24, M. Murugan, 36,; Rosli Ariffin, 40, Sariman Idris, 42, Mohd Norhizam Zamzuri, 29, Faizol Sobri Romli, 29, Amirul Ashraf Hussain, 20, Muhamad Ashraf Aziz, 23, dan Faizal Azlyshah Romli, 33.

Selain itu, Aziz Othman, 56, Muhamad Asrun Amir Hussain, 23, Muhammad Luqman Hakim Zainal, 18, Nur Arif Norzaidi,19, Muhamad Amir Daud, 22, Norhasrul Izwan Noraini, 33, Joni Yakub, 37, Zamzuri Aziz, 22, Shamsol Long, 45, Muhammad Khairul Azhar Ghazali, 21, dan Mohd Rozaidi Sabu, 26.

Kesemua mereka dituduh menyertai kumpulan jenayah terancang itu antara 1 Januari 2015 hingga tahun ini di daerah Kubang Pasu. Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara antara lima sehingga 20 tahun.

Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 20 Nov ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin dan Mohd Izhanudin Alias manakala hanya Aziz diwakili peguam G. Ravishankar.–Bernama

Tiada ulasan: