Ia adalah campuran yang terdiri daripada Cup Lump Modified Binder (CMB) dan batu baur (aggegate).
Kajian bersama Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sejak dua tahun lepas mencapai fasa baharu dalam teknologi campuran getah dalam campuran asfalt selepas diperkenalkan lebih 60 tahun lepas.
Jalan Persekutuan FT 001 dari Kampung Desa Bertemu Jodoh hingga ke Kampung Kwong Sai bakal melakar sejarah apabila terpilih sebagai lokasi pertama projek penggunaan CMA sejauh 10 kilometer yang dijangka dimulakan Ogos ini.
Projek perintis ini juga akan membuka lembaran baharu terutama kepada 440,000 orang pekebun kecil getah di Malaysia apabila penggunaan getah beku dalam negara dapat ditingkatkan.
Ini akan membantu menstabilkan harga getah yang dibelenggu harga rendah sejak beberapa tahun kebelakangan ini seterusnya memberi pulangan pendapatan yang lebih tinggi kepada pekebun.
Dijangkakan sebanyak 4.2 tan getah beku digunakan untuk satu kilometer jalan yang dibina.
KAJIAN PERCUBAAN TAPAK
Penggunaan getah sebagai bahan campuran bitumen bagi menurap jalan bukan sesuatu yang baharu. Malaysia sendiri telah memulakannya sejak tahun 1950an lagi melalui pembinaan tapak percubaan sepanjang 90 meter di Jalan Kota Bharu-Kuala Krai.Bagaimanapun penggunaan getah sebagai asfalt kurang berkembang di Malaysia antara lain disebabkan tiada kajian dan data menyeluruh yang dapat membuktikan penggunaannya lebih baik daripada kaedah konvensional.
Sumber getah yang paling banyak digunakan untuk asfalt biasanya diambil daripada tayar getah kenderaan terpakai yang kemudian dikisar halus menjadi serbuk getah yang akan dicampurkan dengan bitumen.
Produk getah daripada bahan-bahan terbuang industri seperti sarung tangan juga boleh dimanfaatkan sebagai bahan campuran menghasilkan asfalt.
Selain itu penggunaan latex (getah asli dalam bentuk cecair ) memberi rintangan lebih baik pada jalan. Bagaimanapun harganya lebih mahal berbanding jenis getah lain.
Taklimat projek oleh Jurutera Kanan , Jabatan Kerja Raya , Roziawati Razali kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof bersama rombongan Jelajah FTRoadpedia baru-baru ini menjelaskan penggunaan getah beku sebagai sumber alternatif campuran asfalt sedang dikaji dengan lebih teliti.
Ia melibatkan tiga lokasi kajian yang dilakukan secara bersama antara LGM dan JKR selepas menandatangani memorandum perjanjian (MoA) pada 2015.
Turapan CMA di lokasi kajian bermula di Laluan FT010, Jalan Gemas-Rompin di daerah Tampin, Negeri Sembilan pada 22 Dis, 2015.
Laluan 4 Jalan Gerik-Kupang, daerah Baling, Kedah dimulakan pada 8 Nov, 2016 dan seterusnya Laluan FT002 ,Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, Temerloh pada 22 November, 2016.
Katanya, prestasi ketiga-tiga tapak kajian masih dalam pemantauan untuk tempoh dua tahun melalui kaedah ujian tapak dan makmal.
"Antara yang dilihat untuk mengenalpasti struktur keadaan jalan dan turapan sedia ada, kekuatan jalan, kerosakan-kerosakan yang bakal timbul selepas tempoh pemantauan serta ujian permukaan beralun. Sehingga kini data yang diperoleh menunjukkan ia sangat positif ," jelasnya dalam taklimat itu.
HASIL KAJIAN
Penggunaan getah beku mempunyai potensi yang lebih baik untuk mengatasi masalah teknikal jalan.Campuran aspalt meningkatkan kelikatan bitumen yang dapat memberi rintangan terhadap suhu yang tinggi.
Pada waktu panas terutama tengah hari, suhu jalan boleh mencapai sehingga 60 darjah celcius dan kebiasaannya ketika itu bitumen yang bercampur getah (CMB)) akan mencapai suhu titik lembut yang lebih tinggi daripada bitumen konvensional.
Keadaan ini akan membantu masalah jalan berlekuk terutama yang dilalui kenderaan berat.
Campuran yang terhasil mempunyai kelikatan tinggi dan ia membantu balutan bitumen yang lebih baik ke atas batu untuk menambahkan daya tahan selain menjadi lebih elastik yang akan memberi rintangan yang tinggi pada kenderaan.
Prosedur menghasilkan CMA seperti yang dibangunkan perlu melalui beberapa proses iaitu dimulakan dengan pengambilan gumpalan getah beku dari pokok melalui proses pengilangan dan kemudian dicampurkan dengan bitumen bagi menghasilkan Bituminous Cup Lumps (BC).
Selepas itu, BC akan dicampurkan ke dalam bitumen konvensional pada kadar tertentu bagi menghasilkan CMB.
Menghasilkan turapan CMA juga tidak banyak beza dengan kaedah konvensional.
Hanya membezakan sedikit kawalan suhu di mana untuk penggunaan getah beku memerlukan suhu yang lebih tinggi antara 10-20 darjah celsius berbanding bitumen konvensional, jelas Roziawati
KOS LEBIH TINGGI
Projek perintis dari Kampung Desa Bertemu Jodoh hingga ke Kampung Kwong Sai melibatkan jarak sejauh 40 kilometer dengan anggaran kos pembinaan sebanyak RM92.3 juta yang akan mengambil masa kira-kira dua tahun.Hanya 10 kilometer yang akan menggunakan kaedah CMA manakala selebihnya akan menggunakan turapan konvensional.
Dijangka kaedah CMA memberi prestasi pembinaan jalan yang lebih baik walaupun kosnya lebih tinggi berbanding penggunaan aspalt konvensional.
Anggaran kos pembinaan CMA sekitar RM53.60 semeter berbanding kaedah aspalt konvensional RM29.90 semeter.
Bagaimanapun untuk jangka panjang pembinaan menggunakan CMA lebih ekonomik memandangkan kos kitaran hayat jalan berkenaan yang lebih panjang dengan kos penyelenggaraan yang lebih menjimatkan, katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan