RCI mengenai Forex dilihat hanya menjadi kewajaran untuk mengekalkan kuasa Najib Razak sebagai Perdana Menteri
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini mencabar Kerajaan Pusat supaya mendedahkan laporan audit 1MDB dahulu, sebelum menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Forex.
Menurutnya, RCI mengenai Forex dilihat hanya menjadi kewajaran untuk mengekalkan kuasa Najib Razak sebagai Perdana Menteri.
“Apakah hasil siasatan RCI ini akan dicontohi? Apakah tujuan sebenar RCI ini? Apakah ini untuk menyamakan bahawa di zaman Dr Mahathir Mohamad juga ada skandal sebesar 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan media ketika mengulas siasatan RCI yang ditubuhkan kerajaan bagi menyiasat kerugian Forex ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri yang kini merupakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
“Bagaimana RCI Forex ini boleh memberi manfaat kepada negara dan rakyat?” soalnya lagi.
Tambah Tuan Ibrahim, kerana Dr Mahathir terus kekal menjadi PM sehingga 2003, maka ia menjadi satu kewajaran untuk Najib untuk kekal berkuasa di sebalik skandal 1MDB yang memalukan Malaysia di peta dunia.
Beliau turut mencabar BN untuk mendedahkan laporan audit 1MDB terlebih dahulu.
“Jika tidak, tujuan RCI ini hanya bersifat politik semata-mata kerana Umno melihat PPBM sebagai ancaman pada PIlihan Raya Umum Ke-14 (PRU14),” katanya.
Untuk rekod, sebelum ini, Ketua Audit Negara mengklasifikasikan laporan audit 1MDB sebagai rahsia rasmi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan