Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang pertama
seumpamanya di Asia Tenggara dilihat mampu mempercepatkan proses
perundangan berkaitan jenayah seksual kanak-kanak.
Penganalisis jenayah, Datuk Akhbar Satar berkata mahkamah yang baru
dirasmikan semalam itu diharap dapat menjatuhkan hukuman yang setimpal
terhadap pelaku jenayah seksual yang menjadikan kanak-kanak sebagai
mangsa.
"Baguslah. Yang pertama percepatkan proses. Bagus. Yang kedua, pastikan
hakim apabila membawa kes ini pastikan jatuh hukum semaksima yang
boleh. Untuk pengajaran orang buat tersebut supaya orang lain tidak
buat. Mustahaknya.
Ada mahkamah itu sahaja tanpa hukuman yang maksima. Sebab kes ini
semakin serius sekarang ini," katanya ketika dihubungi Antarapos hari
ini.
Dalam pada itu, Akhbar turut mencadangkan kajian secara telus dilakukan
bagi mengkaji lebih mendalam mengenai punca mahupun faktor pelakuan
jenayah tersebut yang kini dilihat semakin serius dalam kalangan
masyarakat.
Semakin teruk. Kita ada masalah sosial. Teruk banyak bukan di selain
masalah lain, masalah ini sosial ini teruk. Kalau boleh buat kajian
menyeluruh supaya kita dapat melihat faktornya penyebab yang masyarakat
kita semakin teruk.
Kalau dengan kajian ini kita tahu lah cara kita nak atasi. Secara kajian empirikal," tambahnya.
Semalam Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak tersebut
dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya.
Mahkamah khas berkenaan bukan sahaja menjadi mahkamah pertama
seumpamanya diwujudkan di negara ini, malah yang pertama di Asia
Tenggara.
Ia diwujudkan bertujuan mempercepatkan tempoh pelupusan kes dan
mempercepatkan giliran bagi perbicaraan kes jenayah seksual yang
membabitkan kanak-kanak.
Perdana Menteri berkata, Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak
ini berbeza dengan Mahkamah Kanak-Kanak sedia ada, yang mana
mengendalikan kes di mana pelaku jenayahnya adalah kanak-kanak.
Tambahnya, penubuhan mahkamah ini nanti akan diperluaskan secara berperingkat ke semua 13 negeri di seluruh Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan