KUALA LUMPUR – Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad
digesa mengekalkan jawatan Datuk Zakaria Arshad sebagai Ketua Pegawai
Eksekutif dan Presiden Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV)
sehingga satu siasatan penuh dilakukan.
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, penggantungan jawatan
Zakaria yang dilakukan Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad perlu diselidiki
dan disiasat sepenuhnya memandangkan ia diselubungi banyak isu.
“Saya mendapat maklumat ada beberapa projek melibatkan suntikan
dana beratus juta ringgit ke syarikat luar negara menjadi perbezaan
pendapat di antara Tan Sri Isa dan Datuk Zakaria.
“Saya nasihatkan Tan Sri Shahrir Samad untuk campur tangan dan
meredakan keadaan dengan mengekalkan Datuk Zakaria sementara segala isu
disiasat dengan lebih lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas tindakan terkini Isa yang mengarahkan CEO dan
presiden FGV itu bercuti daripada jawatannya, berkuatkuasa serta-merta,
hari ini.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan Zakaria sedang disiasat
berhubung tunggakan bayaran daripada syarikat Safitex bagi produk Delima
Oil Products Sdn Bhd, sebuah anak syarikat FGV.
Zakaria juga dilaporkan diarah untuk meletakkan jawatannya kerana
beliau telah melanggar amalan korporat dengan membenarkan pembelian oleh
pihak Safitex tanpa surat kredit, menyebabkan penangguhan bayaran.
Mengulas lanjut, Rafizi juga mendakwa, perbezaan pandangan dalam
beberapa isu besar, termasuk urusniaga melibatkan pembelian saham-saham
PT Eagle High Plantations di Indonesia antara punca penggantungan
jawatan Zakaria.
“Cadangan terkini mengheret FGV terlibat di dalam urusniaga dengan Tan Sri Peter Sondakh (pemilik PT Eagle High Plantations).
“Cadangan terbaru memansuhkan perjanjian pajakan tanah dengan Felda
yang akan melibatkan pindah milik saham menjadikan Peter salah seorang
pemilik saham terbesar FGV,” katanya.
Rafizi berkata, sebagai seorang tokoh korporat dari generasi kedua
Felda, Zakaria dilihat berjaya memimpin FGV serta menunjukkan sedikit
peningkatan sejak kebelakangan ini.
“Saya kurang mengeluarkan kenyataan mengenai FGV kebelakangan ini
kerana mahu memantau bahawa FGV boleh lebih maju di bawah kepimpinan
beliau,” jelasnya.
Sementara itu, Aktivis Membela Peneroka Felda, Nazara Muda dalam
kenyataan berasingan hari ini pula mendesak Isa disingkirkan daripada
jawatan pengerusi FGV.
“Semua warga Felda menyokong Zakaria untuk terus mengekalkan kedudukannya. Kami akan bersolidariti mempertahakan anak Felda.
“Ini kerana Zakaria cuba memacu dan membawa FGV ke landasan betul
dengan apa yang dialami FGV sejak disenaraikan di Pasaran Utama Bursa
Malaysia sejak Jun 2012,” katanya. -MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan