Khamis, 22 Jun 2017

PERINTAH DARURAT BOLEH DIELAKKAN JIKA.....

shahbudindotcom

Apa yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir Mohamad mengenai kemungkinan perintah darurat ini bukanlah mustahil sebenarnya, malah disedari dan mula diperkatakan oleh banyak pihak.

Ini kerana rata-rata menyedari, berbanding semua Perdana Menteri sebelum ini, Najib Razaklah yang paling takut untuk kalah dan hilang kuasa. Lantaran itu, ramai yang menyuarakan kebimbangan bahawa perintah darurat mungkin akan dilaksanakan sebagai jalan terakhir untuk mengekalkan kuasa.

Mungkin ada yang berhujah, kenapa tidak ditimbulkan perintah darurat pada pilihanraya 2013 lalu sedangkan tentangan yang dihadapi Najib ketika itu turut getir dan mencabar?

Sebenarnya, pada pilihanraya 2013 lalu Najib masih yakin untuk menang, bahkan ketika isu isu skandal 1MDB belum meletus dan difahami secara meluas sebagaimana sekarang.

Berbeza kali ini, bukan saja isu 1MDB sudah merebak difahami dan diperkatakan, termasuk berkaitan wang berbilion masuk ke akaun peribadi dan gelang serta rantai leher mewah yang dihadiahkan kepada isteri Malaysian Official 1, bahkan kali ini Tun Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim juga seolah-olah sudah berganding bahu untuk menumbangkan Najib, UMNO dan BN.

Selain itu, sudah banyak negara juga telah bertindak terhadap dana 1MDB yang dilencongkan dengan yang paling panas ialah Amerika Syarikat melalui Jabatan Kehakimannya atau DOJ dan ini secara tidak langsung memberi kefahaman yang lebih jelas kepada rakyat tentang perlunya perubahan dilakukan.

Namun demikian, apakah perintah darurat itu tidak boleh dielakkan dan bagaimana untuk mengelakkannya?

Kebarangkalian untuk mencetuskan huru-hara akibat rasa tidak puas hati terhadap keputusan pilihanraya dan kemudian disusuli dengan perintah darurat hanya akan terjadi jika BN kalah tipis atau kurang 10 kerusi berbanding Pakatan Harapan.

Kekalahan tipis itu akan menyebabkan mereka yang kehilangan kuasa memberontak dan mencetuskan huru-hara.

Bagaimanapun, perintah darurat boleh dielakkan jika rakyat memberi kemenangan lebih selesa kepada Pakatan Harapan. Sebaik-baiknya, kemenangan Pakatan Harapan mestilah dengan majoriti sekurang-kurangnya 10 atau 15 kerusi Parlimen supaya tiada alasan lagi untuk tidak puas hati dan menimbulkan kekacauan .

Jika dapat menafikan kemenangan BN dengan majoriti lebih besar atau sehingga Pakatan Harapan mencapai majoriti dua pertiga misalnya, tentulah lebih baik lagi dan akan mematikan terus senjata perintah darurat itu daripada ditimbulkan.

Hakikat, hanya dengan petunjuk bahawa perubahan kerajaan adalah benar-benar keinginan dan hasrat mutlak majoriti lebih besar daripada rakyat dapat menjadikan perintah darurat dielakkan sama sekali. 
 
 

Tiada ulasan: