Ahad, 25 Jun 2017

Tak timbul isu wang ringgit untuk tinggalkan PPBM - ARMADA

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menepis dakwaan yang dilemparkan Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa ada anggota pemuda itu telah ditawarkan sejumlah wang tunai yang lumayan sekiranya sanggup meninggalkan parti itu.
 
Perkara itu ditegaskan oleh salah seorang Exco ARMADA, Abdul Wahazir Abdul Wahabi ketika dihubungi Antarapos semalam, selain menyatakan rata-rata ahli ARMADA hanya fokus untuk memperjuangkan parti dan tidak pernah sama-sekali mementingkan soal wang ringgit.
  
"Perkara ini tidak betul sebab kita masuk parti pun, keluar daripada Umno pun tidak berkira tentang duit semua ni dan kita hanya nak memperjuangkan parti itu dahulu, itu sahaja, katanya.
 
Khamis lalu, dalam satu penulisan di laman blognya, Dr Mahathir mendakwa terdapat anggota ARMADA pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah disogok dengan wang berjumlah RM10,000 hingga RM50,000 sekiranya mereka sanggup meninggalkan parti itu.
 
Kata Dr Mahathir, mereka yang menerima RM50,000 akan dipaksa menandatangai dokumen yang menghendaki mereka mengundi BN.
 
Sementara itu kata Wahazir, perkara sedemikian mungkin ditimbulkan berikutan tindakan beberapa ahli ARMADA sebelum ini yang membuat beberapa sidang media bagi melahirkan rasa tidak puas hati terhadap parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin itu.
 
"Dia (Tun M) mungkin ada salah faham sikit pada peringkat awal tu yang sebelum kita buat PC itu semua, mungkin ada salah faham sikit di antara pemimpin dan juga beberapa rakan exco yang lain, jadi ini mungkin telah menimbulkan rasa tidak senang, jadi timbul isu macam tu," ujar beliau lagi.
 
Terdahulu, kemelut di dalam PPBM timbul lagi selepas seorang exco ARMADA Muhammad Hafiz Azhar membuat gesaan terhadap Pengerusi Tun Dr Mahathir bagi menjelaskan mengenai kekayaan anak-anaknya yang diperoleh dalam masa yang singkat, dan mahu Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan tuduhan skandalnya dengan seorang wanita yang sehingga kini dakwanya masih belum terjawab.
 
Hafiz berkata cubaannya untuk mendapatkan penjelasan mengenai isu yang dibangkitkannya itu daripada kepimpinan yang lain, sering kali tidak dilayan.  
 
Susulan itu, Wahazir kemudiannya tampil mempertahankan rakannya itu dan meminta agar tiada tindakan disiplin dikenakan kerana menganggap ia bukan satu kesalahan.
 
Ini kerana beliau menganggap Hafiz sekadar membawa suara akar umbi yang turut mahukan penjelasan terhadap isu yang melingkari Tun Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin.
 
 

Tiada ulasan: