Jumaat, 23 Jun 2017

Kewangan Pulau Pinang kukuh jadi kenapa perlu pinjam bank luar negara?, soal Jahara

Oleh Ainor Rahim
 Post Pic
 BUTTERWORTH: Ini kali pertama dalam sejarah Pulau Pinang, melaksanakan projek pembangunan berbilion ringgit sehingga perlu meminjam wang daripada bank luar negara, ujar Ketua pembangkang negeri Datuk Jahara Hamid.
 
Ujarnya lagi, keputusan untuk meminjam dana dari bank luar negara bagi membiayai pojek pembangunan di negeri itu biarpun Ketua Menteri Lim Guan Eng menyatakan kewangan kerajaan negeri berada pada tahap yang kukuh, menjadi tanda tanya ramai pihak.
 
"Kita belum pernah buat pinjaman sampai kena buat rang undang-undang. Sebuah negeri yang kecil yang saya rasa cukup maju yang boleh jana pendapatan. Lim Guan Eng mendabik dada menyatakan Pulau Pinang mempunyai banyak reserve kerana dia pandai jimat wang, mengadakan tender terbuka. Walaupun dia buat bajet defisit akhirnya dia ada lebihan kerana tiap-tiap tahun dia jimat wang.
 
"Jadi dia lebihan itu, reserve kerajaan negeri itu haruslah digunakan untuk menampung keperluan kewangan untuk projek-projek. Tak perlu dah nak pergi pinjam duit bank. Bank luar negara pula tu. Jadi ini satu persoalan yang harus diperhalusi dan dipertimbangkan oleh rakyat Pulau Pinang," katanya kepada Antarapos di Pusat Khidmat Teluk Air Tawar Pulau Pinang baru-baru ini.
 
Mengulas lanjut, beliau turut berkata semua projek pembangunan yang dicanangkan kerajaan negeri sehingga mendorong untuk membuat pinjaman tersebut tidak kesemuanya diperlukan oleh rakyat. 
 
"Kita ada 1.8 juta sahaja...mungkin sebaiknya lebarkan jalan yang ada buatkan jalan pintas untuk atasi masalah lalu lintas. Tak perlu menyediakan projek yang mengambil kewangan yang tinggi. Misalnya nak buat terowong.
 
"Tidak perlu sebab sudah ada dua jambatan dan terowong itu sekadar untuk tarikan pelancong. Terowong ini pun kita nampak banyak masalah akan jejaskan laluan kapal North Port ataupun Penang Port. Kapal lalu ikut situ. Terowong itu nak kena turun bawah laut," jelasnya. 
 
Kerajaan negeri Pulau Pinang telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan China Exim Bank pada 16 Disember 2014.
 
Susulan itu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang telah meluluskan Rang Undang-undang Pinjaman Negeri Pulau Pinang (Bank dan Sumber-sumber Kewangan Lain) 2017 yang membolehkan kerajaan meminjam daripada China Exim Bank.
 
Ketua Menterinya, Lim Guan Eng berkata jumlah pinjaman itu juga terhad (paling banyak RM1 bilion) ekoran ia harus dilangsaikan dalam tempoh lima tahun.
 
Menjelaskan prosedurnya, Guan Eng berkata pinjaman itu harus diluluskan oleh pihak berkuasa China dan Malaysia kerana ia melibatkan rundingan kerajaan dengan kerajaan.
 
Walau bagaimanapun, pinjaman itu perlu mendapat kelulusan oleh Majlis Kewangan Negara, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum Pulau Pinang dapat meminjam daripada China Exim Bank.
 
Keputusan kerajaan negeri untuk meminjam daripada China Exim Bank adalah untuk Pelan Induk Pengangkutan Negeri Pulau Pinang (PTMP) yang dirangka untuk menyelesaikan isu kesesakan jalan raya di Pulau Pinang dengan pembinaan LRT, penyediaan bas awam dan lebuh raya yang menyambungkan seluruh kawasan pulau di negeri itu.
 
 

Tiada ulasan: