KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menerima pelaksanaan Akta Cukai
Pelancongan 2017, namun mahu penjelasan lebih lanjut mengenai beberapa
isu penting bagi manfaat industri pelancongan negeri ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi
Manjun, berkata Kabinet negeri dalam mesyuarat semalam telah
membincangkan secara panjang lebar mengenai akta berkenaan.
"Kementerian saya telah diamanahkan untuk membincangkan beberapa isu
utama akta itu dan melaporkan kembali kepada Ketua Menteri, Datuk Seri
Musa Aman serta Kabinet negeri hasil penemuan dan cadangan mereka.
"Sabah ingin menyumbangkan idea dan cadangan untuk memperhalusi
peruntukan tertentu dalam akta itu dalam mengukuhkan industri
pelancongan di negeri ini.
"Ini kerana pelancongan adalah industri yang sangat berdaya saing dan
turut menjadi penyelamat ekonomi pada masa yang mencabar," katanya dalam
kenyataannya, di sini, malam tadi.
Masidi berkata, dalam kes Sabah, industri itu dikawal oleh penduduk
tempatan dari segi pekerjaan, justeru perlu diuruskan dengan baik.
Katanya, Sabah juga mahu menjemput Kementerian Pelancongan Sarawak untuk membincangkan beberapa isu berkaitan.
"Hasil perbincangan itu akan dikemukakan kepada ketua menteri dan
Kabinet negeri masing-masing dalam bentuk memorandum kepada Kerajaan
Persekutuan untuk pertimbangan.
"Memorandum ini akan diserahkan oleh kedua-dua Ketua Menteri kepada
Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan kerana cukai pelancongan
terletak dalam bidang kuasa Kementerian Kewangan Persekutuan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan