PADANG BESAR
– Satu kajian yang membawa dimensi baharu dalam pertanian menerusi
teknologi rumah hijau dikenal pasti mampu mengeluarkan Harumanis
sepanjang tahun tanpa mengira musim.
Pengarah
Institut Agroteknologi Lestari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof
Mahmad Nor Jaafar berkata kajian tersebut menggunakan
kaedah intensifikasi pertanian pintar iklim, yang mana ia boleh mengawal
produktiviti Harumanis mengikut permintaan.
“UniMAP
telah mengetengahkan gabungan teknologi rumah hijau untuk merangsang
proses pertumbuhan mangga itu dapat berlaku secara tidak bermusim.
“Penyelidikan
yang dijalankan juga telah membuktikan bahawa Harumanis boleh hidup
subur di dalam rumah hijau dan pengeluarannya boleh dijadualkan seperti
yang dikehendaki,” katanya kepada Bernama.
Beliau
berkata, walaupun teknologi ini memerlukan pelaburan yang tinggi, namun
ia dilihat lebih berkesan untuk sektor berkenaan kerana mampu
mengeluarkan hasil yang lebih tinggi.
“Ia
dijangka akan mengubah industri mangga di Perlis dari juta ke bilion
Ringgit Malaysia, dan seterusnya meningkatkan kelestarian pertanian di
negeri ini ke tahap yang lebih baik.
“Kualiti
buah-buahnya juga dilihat adalah lebih baik daripada teknologi sedia ada
dari segi keseragaman rupa, tekstur dan tahap kemanisannya selain
selamat daripada serangan serangga perosak,” kata Mahmad Nor.
Beliau
berkata, komponen penting dalam proses penanaman Harumanis ialah iklim
dan ekologi semulajadi yang sesuai untuk menyokong penghasilan buah
berkualiti tinggi.
Menerusi
kaedah penanaman di dalam rumah hijau itu, faktor untuk pokok
mengeluarkan bunga menerusi cuaca panas dan kering sewaktu siang secara
berterusan selama tiga bulan serta keadaan berangin sejuk pada sebelah
malam mampu dikawal, katanya.
Selain itu
katanya, tempoh matang untuk sesuai dipetik bagi mangga itu akan lebih
seragam kerana suhu dan kelembapannya lebih terkawal menerusi penggunaan
kaedah tersebut.
Mahmad Nor berkata, buah untuk pasaran dalam dan luar negara perlulah dipungut dengan amat berhati-hati.
Penentuan
‘Masa terbaik untuk petik dan masa terbaik untuk makan’ bergantung
kepada kesan iklim di musim berbuah, bukanlah perkara yang mudah
ditentukan.
“Dalam
musim biasa yang mana peredaran cuaca tidak terganggu, panduan menuai
Harumanis yang matang adalah antara tujuh hingga lapan minggu selepas
dibungkus ketika buah sebesar saiz telur ayam.
“Namun
ketika cuaca tidak menentu dan lebih banyak hujan, tempoh untuk buah
matang lebih panjang sekitar sembilan atau 10 minggu sebelum sesuai
dipetik agar tidak menjejas keaslian tekstur dan rasa buahnya,”
jelasnya.
Ditanya
sama ada teknologi ini sesuai diaplikasi di kawasan selain di Perlis,
beliau berkata, ia memerlukan kajian lebih terperinci kerana kaedah
rumah hijau ini masih memerlukan sokongan iklim dan ekologi semulajadi
yang sesuai. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan