Khamis, 29 Jun 2017

Saya disaran peluk Islam, dakwa pengendali kantin politeknik


Gopi Krishnan Gopal, seorang pengendali sebuah gerai makanan di Politeknik Seberang Perai (PSP), Pulau Pinang, hari ini tampil pada satu sidang akhbar dan mendakwa dia diminta memeluk Islam jika mahu meneruskan perniagaan.

Bekas jurutera berusia 45 tahun itu mendakwa ketua pentadbiran PSP, yang kini sudah bersara, mengarahkan beliau bersama isterinya, Khor Hong Geik, untuk menerima Islam.

Gopi Krishnan juga mendakwa telah menerima panggilan daripada pelbagai pihak, termasuk seorang pegawai kerajaan dari Putrajaya, yang memberitahunya supaya "tidak membesar-besarkan isu” itu kerana terdapat usaha untuk membenarkannya terus berniaga.

"Saya beritahu pegawai itu untuk membangkitkan isu itu dengan Jabatan Perdana Menteri dan meminta PM supaya semua politeknik di negara ini mempunyai pengendali kantin yang mampu menyediakan makanan untuk pelajar bukan Islam, terutama bagi golongan vegetarian.

"Kita bukan meminta sebuah kuil dibina di politeknik, tetapi hanya sebuah gerai untuk menyediakan makanan kepada pelajar bukan Islam, yang sesetengah mereka adalah vegetarian kerana sebab-sebab agama," katanya.

Menurutnya, beliau membekalkan makanan kepada kira-kira 1,200 pelajar bukan Islam di PSP.

Gopi Krishnan berkata beliau akan membuat laporan polis mengenai perkara itu.

Peguamnya pula berkata cadangan mengheret politeknik terbabit ke mahkamah sedang dipertimbangkan.

Hadir sama mengiringinya pada sidang akhbar hari ini adalah Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy dan peguam Paramjit Singh dan Shamsher Thind Singh.

Malaysiakini dalam proses menghubungi politeknik berkenaan dan Timbalan Menteri Pelajaran P Kamalanathan atas tuduhan terbaru itu.

Sebelum ini, Kamalanthan berkata isu seorang kontraktor makanan India di sebuah institusi pendidikan yang ditamatkan perkhidmatannya tidak berkaitan perkauman.

Politeknik itu juga menafikan tuduhan perkauman, sambil menambah bahawa laporan polis telah dibuat pada 26 Jun lalu berhubung kandungan mesej Whatsapp dan laman media sosial mengenai perkara itu yang menjadi tular.

Tiada ulasan: