Sabtu, 24 Jun 2017

Adab ketika menyambut Aidilfitri

Athirah Huda Zalhe
 
 
 
TINGGAL kurang 24 jam sahaja lagi umat Islam bakal meraikan hari kemenangan selepas 30 hari berpuasa di bulan Ramadan. Menjadi kelaziman bagi umat Islam di seluruh dunia bergembira dengan kedatangan Hari Raya setelah sebulan berpuasa mengejar amalan wajib dan sunat sepanjang Ramadan.
  Pastinya hari ini sudah ramai warga kota mula pulang ke kampung bagi meraikan Aidilfitri bersama ibu bapa dan sanak-saudara.

Aidilfitri bukan sekadar bergembira meraikannya semata-mata. Dalam keghairahan menyambutnya, ramai umat Islam leka dan alpa sehingga lupa bahawa Syawal juga ruang untuk mereka mengejar pahala.

Lazimnya, kita lebih memfokuskan kepada simbolik sambutan Syawal seperti baju raya, kuih raya, juadah, rumah terbuka dan sebagainya, sehingga mengenepikan adab-adab Hari Raya.
Berikut antara adab-adab dan sunat pada Hari Raya:

• Mandi, memakai bau-bauan dan memakai pakaian yang baru. Sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi SAW dan para sahabatnya iaitu Ibn Umar dan Ali bin Abi Thalib dan lain-lain. Said bin al-Musayyib berkata: “Sunat-sunat hari raya ada tiga: “Berjalan ke tempat solat, makan sebelum keluar dan mandi;”

• Sunat bersegera ke masjid pada pagi hari raya. Bagi imam solat hari raya, sunat datang akhir iaitu ketika hendak memulakan solat hari raya sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW;

• Sunat makan sedikit makanan sebelum pergi bersolat Aidilfitri, manakala Aidiladha pula tidak disunatkan makan dan minum sehingga selesai solat;

• Sunat pergi ke masjid dengan berjalan kaki dan balik semula melalui jalan yang lain. Hal ini berdasarkan hadis, daripada jabir R.A, katanya: “Nabi SAW melalui jalan yang berlainan ketika pergi dan balik pada hari raya;”

• Sunat saling mengucapkan tahniah dan doa antara satu sama lain. Hal ini berdasarkan hadis Wasilah yang diriwayatkan oleh al-Bukhari. Aku bertemu Rasulullah SAW pada pagi hari raya, seraya mengucapkan kepada Baginda: تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ (semoga Allah menerima daripada kami dan daripada kamu), lalu Baginda menjawab: Ya, تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ (semoga Allah menerima daripada kami dan daripada kamu);

• Selepas matahari terbit, makruh bagi imam bersolat sunat sebelum solat hari raya, manakala tidak makruh bagi orang lain melakukannya. Hal ini berdasarkan hadis, daripada Ibn Abbas R.Anhuma: “Nabi SAW keluar pada hari Aidilfitri, lalu Baginda bersolat hari raya sebanyak dua rakaat dan tidak melakukan solat yang lain sama ada sebelum atau selepasnya.”

Bagaimanapun, kita juga harus beringat dengan kesilapan yang sering dilakukan sewaktu menyambut lebaran. Rugilah sebulan mengejar pahala Ramadan, namun ia disia-siakan setelah meraikan Syawal.

Maklumlah, Syawal juga menjadi pesta bagi syarikat televisyen dalam menyiarkan pelbagai tarikan rancangan dan drama yang menarik, sehinggakan berkunjung ke rumah saudara-mara tiada dalam jadual Hari Raya.

Berikut juga antara kesilapan yang mesti dielakkan ketika Hari Raya:

• Tidak menutup aurat atau berpakaian yang menjolok mata tanpa mengikut syariat Islam.

• Memasang lagu-lagu dan nyanyian hari raya yang kurang sopan dan berlebih-lebihan dalam berhibur atas nama hari raya. Alangkah baiknya jika digantikan dengan alunan zikir, nasyid dan nyanyian sopan yang tidak keterlaluan.

• Pergi beraya di rumah rakan-rakan dalam tempoh masa yang amat panjang sehingga mengganggu tuan rumah.

• Mengkritik makanan yang dihidangkan atau membandingkan kelazatan makanan antara satu rumah dengan rumah yang lain.

• Meminta duit secara berlebih-lebihan sehingga perasaan tuan rumah tertekan dan tidak selesa.

• Bersalam-salaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram atau berkumpul setempat sehingga timbul perasaan kurang selesa pada golongan yang beragama.

• Pergi beraya di rumah seseorang sehingga lupa untuk menunaikan solat fardu dan melambatkan solat pada waktunya.

• Lupa menziarahi golongan fakir miskin dan anak yatim, tetapi matlamatnya lebih kepada rumah bangsawan dan hartawan.

• Merayakan hari raya sehingga sebulan dan tidak lagi mampu untuk menunaikan puasa sunat 6 hari
 dalam bulan Syawal.

• Kurang bersedekah dan memberi bantuan kepada fakir miskin, anak yatim serta mereka yang berada dalam kedaifan.

• Berlebih-lebihan dalam berpakaian sehingga menampakkan kemewahan yang melampau hingga membawa perasaan takbur, riak dan sombong.

• Berkumpul secara beramai-ramai tanpa faedah dan tidak menghiraukan orang lain.

• Terlupa untuk menziarahi pesakit di hospital atau mereka yang mengharapkan bantuan sebaliknya kita menyibukkan diri dengan kegembiraan yang melampau bersama rakan taulan yang sihat.

Semoga Syawal yang dirai tahun ini memberi seribu satu manfaat dan kebaikan kepada kita. Setelah sebulan segala mujahadah dan kesungguhan ibadah dipamerkan, maka kurniaan Tuhan kepada kita dengan kedatangan Syawal sebagai petanda kemenangan dengan ibadat. 

Walaupun begitu, kemenangan dan kejayaan hendaklah diisi dengan penuh kesyukuran dan acaranya dengan bertakbir memuji memuja Ilahi di samping mempereratkan tali silaturrahim.
Selamat Hari Raya Aidilfitri, Minal ‘aidin wal faizin.

Taqabballahu minna wa minkum


Tiada ulasan: